EkonomiNasional

Permohonan pinjaman rumah ditolak? AKPK boleh bantu anda

ANDA berhasrat untuk membeli rumah tetapi pinjaman bank ditolak? Justeru apa yang anda lakukan selepas itu?

Lazimnya ramai orang terus membatalkan niat dan menganggap tiada rezeki apabila pinjaman untuk membeli rumah ditolak.

Lebih teruk, kita pasti mudah berputus asa apabila pinjaman dimohon itu ditolak tanpa dinyatakan sebarang alasan.

Jika terjadi hal demikian, sebaiknya jangan berputus asa dan pergilah ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berhampiran.

Kekecewaan pasti boleh diubati, menerusi My Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling khusus bagi permohonan pinjaman perumahan.

Menurut Kaunselor Kanan, Rohanizam Talib, MyKNP merupakan program baharu dilancarkan pada 21 Ogos tahun lepas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu pembeli rumah.

“Menerusi MyKNP, kaunselor akan menjelaskan sebab pinjaman seseorang itu ditolak.

“Justeru, pembeli akan diberi khidmat nasihat dan pendidikan strategi kewangan mengenai elemen yang dinilai oleh pihak bank.

“Kemudian pembeli boleh pelajari selok-belok pembelian rumah secara dalam talian melalui portal Rumahku,” katanya ketika ditemubual Suara Merdeka hari ini.

Program Rumahku oleh AKPK

Tambah beliau, selepas mengikuti program tersebut, pembeli berpeluang untuk cuba membuat permohonan pinjaman sekali lagi.

“Menerusi portal Rumahku, selepas pembeli mengikuti program MyKNP, mereka akan diberi sijil khas yang boleh diberi kepada bank sebagai merit tambahan untuk permohonan pinjaman.

“Pembeli juga akan didedahkan dengan program-program dasar perumahan oleh kerajaan seperti Rumah Selangorku, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya.

“Program MyKNP merupakan sebuah penyelesaian alternatif kepada pembeli rumah yang berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan pinjaman,” ujarnya.

Siapa boleh daftar?

Bagaimanapun, menurut Rohanizam lagi, harga rumah yang hendak dibeli mestilah berpadanan dengan pendapatan.

“Biarlah logik, takkan gaji RM2,000 tetapi bayar bulanan rumah RM1,200, nak makan apa?

“Jadi siapa yang patut datang adalah pembeli rumah, pasangan suami isteri dan juga mereka yang berhasrat untuk membeli rumah tetapi belum buat pinjaman.

“Jangan risau, ini adalah inisiatif BNM untuk membantu rakyat Malaysia membeli rumah,” jelasnya. – SM

(Visited 2,620 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka
Back to top button