Politik

Shafie masih ketua menteri yang sah

DATUK Seri Mohd. Shafie Apdal masih Ketua Menteri Sabah yang sah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew menegaskan, Mohd. Shafie masih memiliki sokongan yang cukup untuk mentadbir.

“Shafie masih Ketua Menteri dengan sokongan majoriti yang mencukupi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Mohd. Shafie malam tadi.

Kenyataan tersebut menjawab teka-teki yang timbul selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan dengan gabungan baharu.

Musa mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Beliau mendakwa, gabungan baharu berkenaan membabitkan beberapa parti, iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bagaimanapun ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, petang tadi, Musa tidak memberitahu jumlah majoriti mudah yang diperolehnya bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Musa berkata, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pagi tadi.

“Mereka membuat kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama, pagi tadi, bagi memaklumkan bahawa gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Tuan Yang Terutama sudah meminta saya mengemukakan surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka,” katanya pada sidang yang diadakan di kediaman beliau, di sini.

Musa mendakwa, pihaknya telah menerima surat akuan bersumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang diketuai oleh beliau.

Beliau sekali gus menyatakan harapannya agar gabungan baharu itu akan dapat membawa Sabah ke arah lebih baik berbanding bawah pentadbiran WARISAN.

Katanya, gabungan baharu itu akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar lebih baik untuk membawa Sabah keluar daripada keadaan ekonomi getir ketika ini yang dakwanya akibat kelemahan kerajaan negeri bawah WARISAN.

“Dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, saya percaya kita dapat bersama-sama mengatasi cabaran, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokong saya.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya daripada semua wakil rakyat untuk kepentingan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Musa bagaimanapun masih belum mengumumkan nama gabungan baharu terbabit, selain dijangka bertemu Juhar di Istana Negeri bagi menyerahkan surat akuan bersumpah, malam ini.

Yang dilihat turut hadir pada sidang media itu termasuk ADUN daripada DAP, WARISAN, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan PKR.

Antara ADUN daripada WARISAN yang hadir ialah Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu), Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik).

Selain itu, ADUN Inanam daripada PKR, Kenny Chua; ADUN dilantik daripada DAP, Loh Ee Eng; dan ADUN Paginatan daripada UPKO, Datuk Abidin Madingkir, juga hadir.

Ketika ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 65 kerusi, termasuk lima ADUN dilantik dan majoriti mudah semasa ialah 33 kerusi.

Sebelum perkembangan terbaru ini, blok kerajaan mempunyai 45 kerusi, manakala blok pembangkang pula 20 kerusi.

Blok kerajaan terdiri daripada WARISAN (31 kerusi), DAP (enam), UPKO (dua), PKR (dua) dan ADUN dilantik (empat), sementara blok pembangkang pula membabitkan BERSATU (sembilan), PBS (empat), STAR (tiga), Bebas (dua), UMNO (satu) dan ADUN dilantik (satu).

Setakat ini, Shafie Apdal belum memberikan sebarang kenyataan susulan perkembangan terbaharu itu. – SM

Baca> Perubahan di Sabah pengkhianatan kepada mandat rakyat

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button