Politik

Shafie calon PM, Anwar TPM 1 dan Mukhriz TPM 2

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui kumpulan yang menyokong beliau dalam Amanah, DAP dan Warisan membincangkan cadangan untuk mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai perdana menteri Pakatan Harapan.

Dalam perbincangan yang dilakukan tiga hari lalu itu juga turut mencadangkan agar Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon timbalan perdana menteri 1 dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai timbalan perdana menteri 2.

Berikut kenyataan penuh Dr. Mahathir:

Saya telah mengadakan satu pertemuan dengan kumpulan yang menyokong saya dan rakan-rakan dari parti Amanah, Warisan dan DAP pada Jun 25, 2020 – bertempat di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.

Perbincangan yang diadakan secara tidak formal dihadiri oleh Dato Seri Shafie Apdal, YB Mohamad Sabu, YB Tan Kok Wai, YB Lim Guan Eng, YB Anthony Loke, YB M. Kulasegaran dan YB Liew Chin Tong.

Dato Seri Mukhriz Mahathir dan Dato Wira Marzuki Yahya turut menyertai pertemuan itu.

Kami membincang banyak perkara berkaitan keadaan Negara pada masa kini serta masing-masing melahirkan rasa risau terhadap beberapa perkembangan semasa.

Semasa perbincangan, telah ditimbul beberapa cadangan mengenai hala tuju perjuangan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat yang telah di rampas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan konco-konconya dan menubuh Kerajaan pintu belakang menggantikan Kerajaan yang dipilih rakyat semasa pilihanraya ke 14 dalam bulan Mei tahun 2018.

Di dalam perbincangan, saya terbuka kepada apa juga cadangan termasuk saya tidak dicalon sebagai bakal Perdana Menteri. Di antara cadangan yang dikemuka ialah pencalonan Dato Seri Shafie Apdal
sebagai Perdana Menteri.

Kami sebulat suara bersetuju Dato’ Seri Shafie Apdal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Saya menyokong penuh cadangan ini. Yang penting ialah kita mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat tahu akan pendirian kita.

Kami juga bersetuju mencadang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 dan Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Mungkin ada yang bertanya kenapa Shafie dicalonkan. Mungkin ada yang telah lupa bahawa Shafie adalah salah seorang pemimpin asal menentang Kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihanraya ke-14.

Dia juga salah seorang pemimpin yang menjadi mangsa awal Kerajaan Najib  dan telah disingkir dari jawatan Menteri serta Naib Presiden UMNO kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang rakyat menerusi skandal 1MDB yang begitu memualkan.

Shafie ketika itu bersama-sama dengan Muhyiddin. Kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali bersama dengan kleptokrats yang dahulu menghukum dan menyingkirnya.

Saya percaya jika langkah kami berjaya, ia akan merapatkan lagi hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Saya juga percaya apa yang kita cadangkan ini dapat diterima oleh rakyat sebagai bukti bahawa personaliti-personaliti di dalam pemimpinpemimpin parti pembangkang tidak utamakan kedudukan dan jawatan.

Yang penting ialah meneruskan perjuangan yang dimulakan sejak tahun 2015 untuk membersihkan negara dari kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin Kerajaan ketika itu kerana sikap tamak, bongkak dan kepentingan diri. Seperti yang kita sedang saksikan, perbuatan yang kita tentang dahulu sudah mula bertapak dan pemimpin dan penyokong kleptokrasi sudah kembali.

Parlimen akan bersidang tidak lama lagi. Saya akan kemuka usul tidak percaya terhadap Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Insya-Allah, dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang tidak boleh menerima Kerajaan pintu belakang Tan Sri Muhyiddin dan mahu mengembalikan mandat rakyat akan bersama saya dan rakan-rakan lain menyokong usul Dato’ Seri Shafie menjadi Perdana Menteri.

Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi seperti yang dituntut rakyat akan dapat kita penuhi. Kita perlu tamatkan Kerajaan yang tidak dipilih rakyat.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button