Politik

Serangan Khaled Nordin terhadap Muhyiddin

ulama

SAYA mengikuti kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam di facebooknya. Khaled terlalu kerap menyerang Tan Sri Muhyiddin walaupun Tan Sri Muhyiddin kini bukan lagi menjadi Perdana Menteri. Terbaru, serangan Khaled berkait terhadap ucapan Tan Sri Muhyiddin dalam Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-5 BERSATU.

Tan Sri Muhyiddin berucap dalam Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-5 BERSATU menggunakan Bahasa Melayu yang mudah difahami oleh sesiapa sahaja. Tetapi nampaknya Khaled Nordin susah hendak faham atau buat-buat tidak faham Bahasa Melayu yang diucap oleh Tan Sri Muhyiddin.

Jadi saya nak bantu Khaled Nordin supaya faham.

Tan Sri Muhyiddin kata beliau mesti letak jawatan apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadapnya. Ini fakta. Tetapi Khaled Nordin pusing cerita kononnya Tan Sri Muhyiddin letak jawatan bukan kerana 15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan, tetapi sebab rakyat tidak suka kepadanya. Ini auta. Kajian persepsi awam yang dibuat oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM mendapati 92 peratus responden tidak bersetuju Tan Sri Muhyiddin letak jawatan. Jadi rakyat mana yang Khaled Nordin cakap ni?


Tan Sri Muhyiddin kata kalau dia tak sokong Dato’ Sri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, Pakatan Harapan (PH) dan kumpulan kleptokrat berkemungkinan akan memerintah. Ini pun fakta.

Kalau kita masih ingat, PH plus mempunyai 105 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Jika dicampur 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin, jumlahnya 120. Nak bentuk kerajaan cuma memerlukan sokongan 111 daripada 220 Ahli Parlimen. (Nota: dua kerusi Parlimen iaitu Gerik dan Batu Sapi kosong). Jadi, kenyataan Tan Sri Muhyiddin ini amat munasabah.

Tetapi Khaled Nordin kata Tan Sri Muhyiddin ‘desperate’ atau dalam Bahasa Melayu terdesak tidak mahu PH memerintah.

La Ilaha llallah. Mengucap panjang saya. Tan Sri Muhyiddin dah bantu Naib Presiden UMNO jadi Perdana Menteri dan sekat PH daripada jadi Kerajaan, dia kata Tan Sri Muhyiddin terdesak. Pemimpin jenis apa Khaled Nordin ni? Sepatutnya dia ucap terima kasihlah kepada Tan Sri Muhyiddin.

Atau memang niat Khaled Nordin mahu supaya PH memerintah dalam Jajaran Baru?

Bagi saya kenyataan Khaled Nordin ini seolah-olah mengesahkan komplot Jajaran Baru ini.
Jadi, bila Dato’ Sri Ismail Sabri dengan sokongan Tan Sri Muhyiddin dan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional dilantik sebagai Perdana Menteri, perancangan mereka gagal. Sebab itulah Khaled Nordin tidak puas hati dengan langkah Tan Sri Muhyiddin ini agaknya?

Khaled Nordin kata penolakan Tan Sri Muhyiddin terhadap PH adalah bermusim dan bersifat acuh tak acuh kerana Perdana Menteri yang disokong olehnya, iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri, telah memutuskan untuk bekerjasama dengan PH dan parti-parti pembangkang melalui pendekatan baharu. Ini merujuk kepada tawaran 7 perkara Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 10 September 2021.

Khaled Nordin mempertikaikan kenapa Tan Sri Muhyiddin tidak membangkang tawaran yang dibuat oleh Perdana Menteri kepada PH?

Allahuakbar. Lupakah Khaled Nordin tawaran yang sama dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin kepada parti-parti pembangkang pada 13 Ogos 2021? Jadi kenapa pula Tan Sri Muhyiddin hendak bangkang?

Saya hendak beritahu Khaled Nordin. Tawaran ini adalah satu bentuk kerjasama rentas parti di Parlimen atau Confidence and Supply Agreement (CSA). CSA ini tidak sama dengan PH menjadi kerajaan. PH tetap pembangkang. Cuma ada persefahaman di Parlimen bahawa PH tidak akan kemuka atau sokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen. Jadi Perdana Menteri dari UMNO ini boleh kekal. Tidak seperti apa yang dibuat oleh 15 Ahli Parlimen dari UMNO terhadap Perdana Menteri dari BERSATU dulu.

Jadi sepatutnya Khaled Nordin ucap terima kasih, tahniah dan syabas kepada Tan Sri Muhyiddin kerana beliau konsisten dengan pendirian beliau dan sokongan beliau kepada tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumum oleh Perdana Menteri akan membolehkan Perdana Menteri dari UMNO ini kekal.

Saya harap Khaled Nordin faham penjelasan saya dalam Bahasa Melayu yang mudah.

Nasihat saya kepada Khaled Nordin, tidak salah untuk mengkritik tetapi biarlah mengkritik secara berfakta, rasional dan bukan secara emosional. Janganlah terlalu angkuh & sombong apatah lagi bagi pemimpin yang telah ditolak oleh rakyat dengan kekalahan yang teruk pada pilihanraya umum yang lepas. Elakkan kenyataan politik yang sia-sia! Fokuslah kepada politik khidmat bakti demi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini. Bantulah & dukunglah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri. Sama-sama kita bermuhasabah diri!

MOHD RAFIQ NAIZAMOHIDEEN
Naib Presiden BERSATU

(Visited 157 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button