NasionalNegeri

Serah zakat pada MAIPS tanda prihatin McDonald’s

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dengan penyerahan zakat perniagaan oleh McDonald’s Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ia sekaligus membuktikan tanda prihatin badan korporat tersebut terhadap golongan yang memerlukan di Perlis.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, sudah pasti pemberian wang zakat ini akan dapat membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bagi meneruskan fasa baharu kehidupan selepas penularan Covid-19 dua tahun lalu.

Titah baginda, sudah tentu fasa baharu ini akan memberi tekanan dan kesan besar terhadap ekonomi dan pembangunan keluarga.

Baginda bertitah, salah satu dari sumber bantuan dan sokongan diperlukan golongan ini adalah pemberian zakat perniagaan oleh syarikat-syarikat berkenaan kepada mereka.

“Beta amat bangga dengan pengurusan McDonald’s Malaysia yang bukan hanya mampu menunaikan zakat perniagaan tetapi turut berjaya melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dalam menyantuni barisan hadapan, golongan asnaf dan mereka yang memerlukan sepanjang tahun lalu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di A-Heart Perpustakaan Syed Faizuddin Putra di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Tetap Pauh Putra di Kangar, hari ini.

Berkenan hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Presiden Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia) merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr. Zaliman Sauli.

Baginda juga turut menyaksikan penyerahan replika cek zakat korporat berjumlah RM100,000 oleh McDonald’a Malaysia yang oleh Azmir Jaafar kepada Ketua Unit Strategik dan Pemantauan Inisiatif MAIPs, Azizul Fitri Ismail.

Sementara itu, Azmir dalam ucapannya berkata, sumbangan zakat McDonald’s Malasyia adalah tanggungjawab sebagai sebuah syarikat 100 peratus milik orang Islam.

“Selain sumbangan zakat korporat setiap tahun, dianggarkan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan di bawah Program Komuniti McDonald’s dan RMHC melibatkan restorannya di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, antara yang dilaksanakan sumbangan berupa pek makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan, warga emas di pusat jagaan orang tua sempena Tahun Baru Cina dan tajaan moreh di masjid berdekatan restoran McDonald’s di bulan Ramadan nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button