Berita

Calon PN mampu buat kejutan di DUN Sungai Balang

MUAR 28 Februari – Biarpun kali pertama bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zainuddin Sayuti tidak melihat kekangan buatnya membuat kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muar itu berkata, rakyat di situ menyambut baik apabila namanya dipilih bertanding di kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, kali ini calon BN tidak boleh bermegah untuk mempertahankan DUN yang mereka menangi pada PRU-14 sebaliknya penampilan PN dilihat mampu mencabar kedudukan mereka.

“Kekuatan PN kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat Johor begitu juga di DUN Sungai Balang.

“Atas kekuatan ini, saya lihat tidak mustahil buat PN untuk membuat kejutan dan memenangi DUN ini menjelang hari mengundi pada 12 Mac ini,” ujarnya ketika ditemui di Bilik Gerakan Sungai Balang di sini hari ini.

Saingan empat penjuru bakal berlaku di Sungai Balang apabila calon PN itu turut disertai Cikgu Abdullah (PKR), Selamat Takim (BN) dan Intan Nadira Shafika (Pejuang).

Zainuddin berkata, jentera parti sudah bergerak awal sejak penamaan calon untuk menemui sebanyak mungkin pengundi seramai 29,000 yang layak membuang undi pada 12 Mac ini.

Katanya, dengan kekangan prosedur operasi standard (SOP) calon bertemu pengundi atau ceramah sehingga pukul 10 malam, tidak mungkin seluruh pengundi dapat ditemui dalam tempoh baki 13 hari.

“Gerak kerja kita menemui sebanyak mungkin pengundi di pasar lambak, pasar malam, sarapan pagi, ziarah rumah ke rumah dan sebagainya bagi mereka memilih PN untuk menang,” ujarnya.

Dibantu parti komponen PN dari Selangor kata Zainuddin sasaran untuk bertemu pengundi sebanyak 90 peratus mampu dicapai.

(Visited 1,005 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button