fbpx
Nasional

Sepakat lantik Hajiji KM Sabah bukti GRS cintakan masa depan rakyat

TIMBALAN Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu menegaskan, pelantikan Datuk Hajiji Mohd. Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu membuktikan kecintaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap masa depan rakyat negeri bawah bayu itu.

Beliau berkata, demi masa depan rakyat, segala-galanya mengatasi kepentingan peribadi dan itulah harapan yang diletakkan oleh rakyat Sabah terhadap Ketua Menteri mereka, Hajiji yang juga merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Faizal berkata, kesepakatan antara parti gabungan menandakan dinamik baharu politik negara yang menjadi tanda aras kepada kematangan ahli politik dalam memastikan sahsiah politik terus dijunjung sebagai wadah perjuangan untuk menyatukan rakyat dan membina negara, bukannya alat untuk memecah belah.

HAJIJI NOOR

“Ini adalah masanya untuk membentuk sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang kukuh untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan menunaikan semua Aku Janji GRS bagi membalas kepercayaaan pengundi dan rakyat Sabah.

“Kita yakin dan percaya, kesepakatan yang dibuktikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kepimpinan parti dalam GRS adalah satu permulaan baharu kepada sebuah kerjasama politik yang benar-benar memberi perhatian kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Dalam pada itu, Faizal juga berkata, dengan sokongan dan komitmen jitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan di Kerajaan Persekutuan terhadap kerajaan GRS yang diketuai Hajiji, akan merancakkan lagi pembangunan di  negeri itu.

“Kita yakin rakyat Sabah akan mendapat pembelaan dan menikmati kesinambungan pembangunan yang selayaknya di bawah semangat federalism,” kata Faizal.

Hajiji, 65, mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Sulaman, mengangkat sumpah jawatan itu pada pukul 10.35 pagi di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Juhar Mahiruddin.

Sementara itu, Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS, Dr. Joachim Gunsalam, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Sabah kini bukan sahaja mempunyai seorang Ketua Menteri yang baharu tetapi mempunyai tiga orang Timbalan Ketua Menteri sekaligus. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button