NegeriRencah Hidup

Sentuhan kreatif Zaimah ubah agar-agar kering

BAGAI tak percaya melihat kuih comel dan cantik berbentuk bunga matahari dan ros yang dimuat turun dalam sebuah grup masakan di Facebook (FB) rupa-rupanya adalah agar-agar kering.

Memang bentuk agar-agar kering yang dihasilkan Zaimah Zakaria, 36 adalah inovasi yang menakjubkan.

Sesiapa sahaja akan tertarik melihatnya dan sudah pasti tidak mustahil agar-agar kering akan kembali bertaut di hati generasi kini.

Ini kerana sejak beberapa lama agar kering tradisional kekal berbentuk persegi memanjang sekaligus menenggelamkan nama kuih ini dari senarai pilihan kuih raya.

Kata Zaimah, agar-agar kering yang menjadi pilihannya untuk dijual mulai tahun lalu pada mulanya dihasilkan dalam bentuk persegi panjang.

Beliau mengakui bosan dengan bentuk lama yang dilihat sudah sampai masanya diberikan inovasi supaya kembali diminati.

“Saya mula membelek pelbagai acuan bunga silikon di Shopee dan kemudiannya membeli untuk dikumpul supaya dapat digunakan bagi membuat agar-agar kering,” kata suri rumah kepada empat anak ini yang tinggal di Sungai Buloh, Selangor.

Inovasinya ternyata berjaya apabila mendapat perhatian ramai setelah diiklankan di FB sejak bulan ini.

GUBAHAN agar-agar kering ciptaan Zaimah yang rupanya lari dari kebiasaan.

Zaimah mengakui, pada mulanya dia bergantung sepenuhnya kepada cahaya matahari bagi mengeringkan agar-agar kering.

“Boleh tahan penat apabila terpaksa mengusung talam yang dipenuhi kuih tradisional ini keluar masuk rumah apabila pertukaran cuaca dari panas terik ke hujan,” ujarnya.

Katanya, ini mengakibatkan proses mengeringkan agar-agar biasanya boleh menjangkau sehingga seminggu.

Bagaimanapun seperti mana dia berani mengubah bentuk agar-agar kering yang selama ini berbentuk persegi memanjang, Zaimah dia juga memikirkan solusi pengeringan lebih efisyen.

Agar-agar kering berbentuk ros dalam pelbagai warna memang nampak sangat cantik dan menarik.

Sekali lagi dia mula meneliti di Shopee untuk mencari barang yang boleh digunakan untuk mengeringkan kuihnya dengan lebih cepat dan bersih.

Beliau cuba membeli mesin pengeringan makanan dengan lima lapis dan ternyata proses pengeringan lebih cepat iaitu jimat separuh dari jumlah hari jika menggunakan cahaya matahari.

Dia kemudianya menambah sebuah lagi mesin dengan 12 lapis bagi meningkatkan produk.

“Kini saya mampu menghasilkan lebih kurang 600 biji agar-agar kering sehari bagi menampung permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau menjual 500 gram agar-agar kering ini dengan harga RM25. Sesiapa yang berminat membeli agar-agar kering ini untuk dimakan atau dibuat hantaran dan sebagainya boleh melawat FB Zaimah Zakaria. – SM

(Visited 1,091 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button