Sukan

Selangor sasar kedudukan tiga terbaik dalam Sukma Johor

PANDEMIK Koronavirus (Covid-19) tidak melunturkan semangat atlet Selangor untuk menghadapi Sukan Malaysia yang akan diadakan di Johor tahun hadapan.

Walaupun berhadapan dengan kekangan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di peringkat Pemulihan dan Bersyarat, ia tidak menjejaskan prestasi kontinjen Selangor secara keseluruhan untuk menyasarkan kedudukan tiga terbaik.

Ini kerana, atlet-atlet yang akan bersaing, menjalani latihan khusus ketika PKP termasuklah latihan persendirian di rumah dan tempat berlatih.

Malah, perkembangan mereka juga dikatakan dipantau secara konsisten oleh jurulatih masing-masing secara dalam talian seperti melalui video dan aplikasi Zoom.

Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) juga dilihat optimis dengan sasaran tersebut menerusi latihan-latihan intensif yang dijalani para atletnya menjelang temasya nanti.

“Sebelum PKP dilaksanakan, pihak Majlis telah mensasarkan sebanyak 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa bagi Sukma 2020 dan sasaran ini telah dibuat berdasarkan prestasi pasukan masing – masing.

“Dengan sasaran pingat yang dinyatakan tadi, pihak MSNS telah menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik untuk kedudukan ranking pingat secara keseluruhan untuk Sukma di Johor akan datang.

“Sebelum pengumuman PKP, pihak Majlis telah menjalankan program latihan Sukma seperti biasa mengikut periodisasi yang telah dirancang awal oleh pihak jurulatih pasukan.

“Setelah pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan kebenaran menjalani latihan sukan.

“Pihak telah memberi kebenaran untuk meneruskan latihan persediaan pasukan bermula 1 Julai lalu, setelah pihak MKN dan KBS memberi kebenaran untuk menjalani latihan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.”

Demikian kata Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Permatang, Rozana Zainal Abidin dan Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menjawab soalan ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengenai jangkaan penjimatan kos dalam menghadapi Sukma ketika wabak Covid-19.

Mohd. Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras itu menjawab beberapa penjimatan dapat dilakukan.

Namun, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menampung kos tambahan bagi menghadapi Suka tahun hadapan termasuklah bayaran elaun kepada jurulatih dan atlet.

Ia susulan penangguhan temasya itu yang sepatutnya berlangsung pada Julai tahun ini ditunda ke 5 hingga 10 April 2021.

“Akibat penangguhan sehingga kini, kita tetap terpaksa membayar jurulatih bermula dari Julai 2020 sehingga berlangsungnya Sukma pada tahun hadapan.

“Dari segi elaun kejurulatihan tidaklah dapat menjimatkan dan dari segi prestasi kebarangkalian ada penjimatan kos dan penggunaan tempat-tempat tertentu bagi tujuan latihan.

“Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap komited untuk memastikan prestasi atlet kita di tahap terbaik.

“Walaupun terpaksa menggunakan kos yang sedikit berlebihan untuk menghadapi Sukma pada tahun hadapan,” jelasnya.

KBS sebelum ini menunda penganjuran Sukma pada tahun hadapan susulan penularan wabak Covid-19 yang berisiko kepada aktiviti menghimpunkan ramai orang dan bersentuhan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button