Sukan

Selangor Future Cup 2025, gabungan e-sukan, pendidikan dan peluang Profesional

SELANGOR bakal menjadi pusat tumpuan dunia e-sukan apabila Kerajaan Negeri Selangor, melalui Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan, menganjurkan Selangor Future Cup (SFC) 2025. Kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) ini akan melibatkan penyertaan 64 sekolah menengah di seluruh negeri dan bakal berlangsung pada 22 hingga 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam, yang bertindak sebagai venue rasmi dengan sokongan penuh daripada pihak AEON.

Membentuk Bakat Baharu dalam E-Sukan

Inisiatif ini bertujuan untuk mengembangkan bakat pelajar bawah 17 tahun dalam bidang e-sukan secara kompetitif, selain membina kemahiran strategik, kepimpinan, dan kerjasama berpasukan. Lebih daripada sekadar satu kejohanan, SFC 2025 juga menjadi platform penting dalam mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi mewakili Selangor dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Selain itu, peserta kejohanan ini juga berpeluang untuk menerima penajaan biasiswa bernilai RM160,000 daripada TODAK Academy. Biasiswa ini akan membolehkan para pemenang melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Kemahiran dalam bidang Pembangunan Kandungan Kreatif (Diploma Creative Content Development), membuka peluang untuk mereka memperkasakan diri dalam akademik sambil terus mengasah kemahiran dalam e-sukan.

Sokongan Padu dari Rakan Strategik

Penganjuran SFC 2025 turut melibatkan kerjasama strategik dengan Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK. TODAK bukan sahaja bertindak sebagai pengurus kejohanan tetapi juga memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet e-sukan melalui program latihan dan bimbingan profesional. Ini merupakan kerjasama pertama antara TODAK dan SRG dalam usaha menyokong inisiatif Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Najwan Halimi, dalam memperkasakan e-sukan di peringkat sekolah.

Menurut pihak TODAK, selain menguruskan kejohanan, mereka juga akan menyediakan program pembangunan atlet bagi membantu pemain berbakat mendapat pendedahan secara berperingkat di liga profesional dan juga di peringkat negeri seperti SUKMA. Pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor turut terlibat dalam usaha ini untuk mengenal pasti pemain berkualiti yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Pendidikan Sebagai Tunjang Kejohanan

Salah satu keunikan SFC 2025 ialah pendekatan yang mengutamakan pendidikan dengan menawarkan biasiswa kepada semua enam ahli pasukan yang menjuarai kejohanan. TODAK Academy menawarkan tajaan penuh bagi mereka yang layak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 4).

“Kami berharap kejohanan ini dapat menarik minat lebih banyak institusi pendidikan untuk turut serta pada masa hadapan dalam memberi sokongan terhadap usaha mewujudkan keseimbangan antara akademik dan e-sukan,” kata wakil TODAK.

Mengubah Persepsi terhadap E-Sukan

Selain mencungkil bakat, SFC 2025 juga diharapkan dapat mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap industri e-sukan. Dengan semakin banyak kejayaan di peringkat negeri dan antarabangsa, diharapkan e-sukan akan diterima sebagai satu bidang yang bukan sahaja berpotensi tinggi tetapi juga mampu membuka peluang kepada generasi muda untuk berjaya.

“Kami berterima kasih kepada YB Najwan, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, MSN Selangor, serta pihak SRG atas usaha kerjasama ini,” ujar wakil TODAK.

Dengan tema ‘Lahirnya Lagenda!’, SFC 2025 bukan sekadar kejohanan, tetapi sebuah pentas yang membuka ruang kepada bakat muda untuk bersinar di peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam arena e-sukan mahupun bidang akademik.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button