Sukan

Selangor kalahkan Negeri Sembilan 4-0 dalam aksi Liga Super

Selangor FC menjaringkan kesemua gol pada babak kedua untuk menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0 pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam ini.
Di separuh masa  pertama Selangor tidak memberi ruang kepada NSFC dengan mendominasi perlawanan sambil menghasilkan beberapa peluang termasuk Muhammad Mukhairi Ajmal yang membuat cubaan menanduk bola ke gawang namun tersasar pada minit ke-21.
Selangor sekali lagi memperoleh peluang memecah kebuntuan apabila Muhammad Mukhairi menghantar bola untuk diterjemahkan Ronnie Fernandez tetapi gagal dimanfaatkan pada minit ke-32.
Pada mada kecederaan di separuh masa pertama, pelawat cuba menggugat gol Selangor dengan percubaan pemain tengah Takumi Sasaki namun tendangan tersasar.
Masuk separuh masa kedua, skuad Gergasi Merah yang beraksi dalam stadium yang penuh, memperkemas langkah memburu jaringan membuahkan hasil apabila Yohandry Orozco merembat deras bola ke gawang pada minit ke-46.
Namun dinafikan pengadil yang memeriksa video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan Orozco di kedudukan ofsaid.
Asakan demi asakan Selangor akhirnya berjaya membuka tirai jaringan apabila Fernandez meledak jaringan selepas menerima hantaran Noor Al Rawabdeh pada minit ke-57.
Pada minit 68 giliran Orozco mencipta gol dan sekali lagi menyempurnakan jaringan ketiga di minit ke-76.
Selangor terus menambah duka pasukan pelawat menerusi Reziq Mohammed Saleh Banihani meledak gol terakhir pada minit kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor memperoleh tiga mata penuh untuk menduduki tangga keempat carta Liga Super musim ini dengan enam mata manakala NSFC jatuh di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button