Nasional

Sekretariat Buy Muslim First nafi tuduhan ADUN Amanah

Kempen Buy Muslim First (BMF) tidak pernah ditaja oleh mana-mana parti politik termasuk Pas.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Aminuddin Yahaya berkata, BMF digerakkan oleh gerakan umat Islam merentas parti politik yang digerakkan oleh usahawan, NGO dan pembeli muslim.

“Jika mahu menegur komitmen mana-mana parti politik mengenai kempen BMF sebelum dan selepas menjadi kerajaan, tidak mengapa kerana memang kita perlu saling menasihati tatkala terleka. Malah, kita sangat alu-alukan.

“Tetapi untuk meletakkan label bahawa kempen ini DITAJA oleh mana-mana parti politik, itu adalah satu dakwaan yang berniat jahat dan menyimpang.

“Kami sekretariat penganjur yang menggerakkan kempen ini menggunakan duit poket masing-masing sahaja walaupun kami tidaklah kaya raya tetapi berkat rezeki dari Allah, kami dapat bergerak,” kata Aminuddin.

Aminuddin menjawab tuduhan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil yang mempersoalkan sikap Pas berhubung kempen “Buy Muslim First” (BMF) yang didakwa pernah dijuarai sebelum ini.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata, sikap membisu Pas dalam kempen itu selepas membentuk kerajaan membuktikan bahawa parti itu hanya mempolitikkan kempen tersebut.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara, tetapi sekarang ia dilihat tidak lagi diendahkan oleh PN dan PAS.

“Malah, dalam ucapan Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, nampaknya kempen BMF sudah diketepikan dan digantikan dengan kempen “Buy Malaysia” yang serupa dengan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” yang digerakkan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengembangkan ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Aminuddin sehingga hari ini, tidak ada satu sen pun pihak sekretariat penganjur mendapat peruntukan dari sesiapa termasuk parti politik.

Aminuddin berkata, jika kempen BMF ditaja oleh parti politik ia subur di negeri-negeri yang diperintah oleh parti berekaan dan pastinya usahawan-usahawan muslim di negeri-negeri tersebut juga kaya.

“Janganlah cuba mempolitikkan kempen ini. Apa faedah yang anda dapat dari cuba seret para usahawan dan peniaga yang tidak bersalah ke kancah pergaduhan politik kalian? Akhirnya yang rugi hanyalah peniaga-peniaga dan usahawan-usahawan Muslim yang baru sahaja hendak bertatih ini manakala politikus tetap kaya raya menikmati segala elaun.

“Sudahlah tidak mahu membantu malah hanya membuat kacau sahaja. Apakah mereka ini seronok menghalang usaha kebaikan, iaitu usaha membantu saudara Muslim yang lain? Apakah ini ‘rahmatan lil alamin’ yang diperjuangkan?

“Jangan sampai rakyat semakin benci dengan politik akibat kerakusan para politikus yang suka mengheret rakyat dalam permainan mereka. Berilah ruang untuk rakyat marhaen bernafas. Cukup-cukuplah,” kata Aminuddin.

Aminuddin berharap, kempen BMF diteruskan dengan menyokong usahawan-usahawan muslim. Menurutnya agenda memperkasakan ekonomi umat ini adalah perjalanan yang panjang.

“Usah pedulikan ‘nyamuk-nyamuk’ yang datang mengacau ini kerana mereka hanya tahu ‘menghisap darah’ sahaja!” kata Aminuddin.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button