Nasional

Sebarkan video lama untuk memfitnah, Ismail Sabri buat laporan polis

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berkaitan dua video pendek yang cuba memfitnah dirinya dan menimbulkan keadaan huru-hara antara kaum hari ini.

Laporan polis berkenaan dua video yang tular di laman sosial itu dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Azlina Md Rosdy @ Rozzy di Ibu pejabat Polis Daaerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Azlina berkata, video pendek pertama yang tular ialah berkaitan sidang media harian berkaitan Covid-19 pada 14 April tahun lalu.

“Video tersebut ditularkan kononya adalah sidang media terbaharu dan seakan bertujuan untuk mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompaun akan dikenakan sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.

“Video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikan dalam pelaksanaan SOP,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuat laporan polis tersebut.

Menurut Azlina, video kedua yang tular pula bertajuk ‘Sendiri buat SOP sendiri langgar’ sebenarnya adalah rakaman di mana Ismail hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni bersempena kepen Tabung Hari Pahlawan pada 15 September tahun lalu.

Ujarnya, video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baru Cina.

“Video tersebut sebenarnya diadakan ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana dalam tempoh tersebut, majlis perkahwinan dan majlis-majlis lain juga dibenarkan dan tiada pelanggaran SOP yang berlaku,” katanya.

Jelas Azlina, penyebaran video itu telah menimbulkan kemarahan rakyat sekaligus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap Ismail.

Setakat ini menurutnya, dua akaun Facebook yang memulakan penyebaran video dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Beberapa individu lain yang sebarkan video itu juga akan dikenal pasti dan akan dikenakan tindakan.

“Kita juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan siasatan sedang dijalankan,” ujarnya.

Semalam, tular di laman sosial dua video yang memaparkan Ismail hadir ke satu majlis dan bersalam dengan tetamu yang hadir. -SM

(Visited 351 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button