Nasionalpilihan

Sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion dilupuskan

KERAJAAN bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka.

“Ia juga akan melibatkan pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46% warga peneroka);

“Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021 , bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34% warga peneroka).

“Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6% warga peneroka),” katanya.


Beliau berkata demikian  ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya hari ini.

Menurut Muhyiddin, menerusi inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80% setiap peneroka.

Jelasnya, purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 – RM 1, 000 kepada hanya RM250 – RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Saya berharap tindakan ini akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka.

“lni sekaligus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemat dan tidak lagi membebankan pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi menambah baik model perniagaan FELDA.

Ujarnya, sebahagian terbitan sukuk ini sedang digunakankan untuk menstruktur semula pinjaman dengan institusi kewangan serta untuk mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV).

Muhyiddin berkata, beliau percaya dengan penstrukturan semula pinjaman-pinjaman tersebut, ia akan memgembalikan fokus Felda terhadap usaha pemerkasaan perniagaan terasnya.

‘’Persetujuan Kabinet terhadap cadangan Pasukan Khas sebelum ini, juga telah membolehkan Felda meningkatkan pegangan saham dalam FGV sehingga 81.3%. Saya difahamkan, perkembangan ini akan mewujudkan satu sinergi perladangan yang akan melonjakkan produktiviti seterusnya keuntungan Kumpulan Felda,’’ katanya.

Di samping itu, kata beliau, peningkatan penglibatan Felda dalam industri hiliran yang mempunyai nisbah keuntungan lebih tinggi pula akan membolehkan Felda mencapai sasarannya untuk kembali mencatat keuntungan menjelang tahun 2023.

‘’Selari dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0, Felda telah pun mula melaksanakan sistem pertanian pintar bagi menguruskan 458,000 hektar ladang Felda dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu atau precision agriculture.

‘’Dengan kerjasama warga Felda, sistem ini mampu menambah baik operasi perladangan menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat lebih terperinci, dan menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam masa 5 tahun,’’ katanya. -SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button