NasionalNegeri

Bekalan air di Kedah, P. Pinang terganggu mulai hari ini

PENURUNAN secara mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang telah menjejaskan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. Ia sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Kedah.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, sebahagian pengguna akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air bermula hari ini sehingga Rabu.

Paras air Sungai Muda di Kedah turun mendadak di bawah paras i meter pagi ini.(Gambar PBAPP)

Mengulas lanjut, LRA Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat 1,000 juta liter air sehari (JLH).

“Buat masa kini, LRA Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat 1,000 JLH untuk dibekalkan ke kawasan Seberang Perai dan juga kawasan sekitar Pulau Pinang.

“Buat masa kini tahap pengeluaran LRA Sungai Dua terhad kepada 600-650 JLH sehingga keadaan air mentah di muka sauk Lahar Tiang mencapai simpanan 100 peratus iaitu berdasarkan pemulihan paras air di Sungai Muda,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai tindakan kecemasan, PBAPP telah menyalurkan air dari Empangan Mengkuang ke LRA Sungai Dua.

GAMBAR HIASAN SUNGAI

“Walau bagaimanapun, jumlah air yang disalurkan dari Empangan Mengkuang masih tidak mencukupi untuk menampung penurunan mendadak paras air Sungai Muda,” ujarnya.

Terdahulu, PBAPP memaklumkan Paras Sungai Muda yang direkodkan di muka sauk PBAPP di Lahar Tiang Seberang Perai pada pukul 5 pagi tadi turun mendadak di bawah satu meter.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kira-kira 252,000 akaun pengguna di tiga daerah iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu barrage Sungai Muda.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, gangguan bekalan air di tiga daerah itu bermula pada pukul 7.25 pagi tadi.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.

“Situasi ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 252,000 dan antara kawasan yang terjejas adalah Sungai Petani, Bedong, Pantai Merdeka, Kulim, Lunas, Kuala Ketil dan beberapa kawasan utama yang lain,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak SADA akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

Bilik gerakan telah diaktifkan serta-merta dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian ibu pejabat SADA 04-7408976; Wilayah Kedah Tengah (04-4216798); Wilayah Selatan (04-4846770) dan Pusat Informasi SADA (SIC) di talian 1300-88-0017.

“SADA akan sentiasa bergerak seiring untuk melakukan pemantauan rapi ke atas paras Sungai Muda bersama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebagai badan yang berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengawal selia dan membekal sumber air mentah kepada SADA,” menurut kenyataan itu.

Maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok SADA dan di laman sesawang rasmi SADA iaitu www.sada.com.my. – SM

BACA Ban pecah: 80,000 pengguna hadapi gangguan bekalan air

BACA PAUTAN Paras air Sg Muda turun mendadak jejas bekalan air P.Pinang

 

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button