fbpx
Politik

‘Saya tidak tahu apa yang pernah saya buat untuknya’

JASA yang ditabur oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri masih lagi dihargai walaupun dia kini bukan lagi berada dalam Kabinet kerajaan.

Antaranya ketika turun berkempen di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim, Najib disapa dengan mesra oleh dua orang warga emas berketurunan Cina berusia 81 tahun dan 88 tahun.

Salah seorang daripada mereka menangis terharu bersua muka dengan Ahli Parlimen Pekan itu. Peristiwa yang menyentuh perasaan itu diceritakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr. Mah Han Soon.

“Apabila mereka berjumpa dengan YB Dato’ Seri Najib, seorang berterima kasih atas jasa dan sumbangan sewaktu zaman Barisan Nasional .

“Seorang lagi terus menangis terharu dan pegang tangan YB Datuk Seri Najib dengan erat. Beliau juga mengeluh bahawa bantuan BR1M telah berkurangan.


“Kita semua manusia, manusia bukan suci, ada kesilapan, ada jasa. Namun saya amat terharu menyaksikan jasa YB Dato’ Seri Najib dikenang oleh warga emas Cina ini. Terima kasih, Terima kasih, Terima kasih,” kata Dr Mah yang juga Timbalan Presiden MCA.

Najib semalam turut berkongsi gambar yang sama. Menurut Najib, beliau tidak tahu apa jasa yang telah dilakukan olehnya terhadap  warga emas tersebut sehingga wanita tersebut mahu berjumpa dengannya sebaik sahaja mengetahui dia berada di DUN Slim.

Dalam hantarannya, Najib turut meminta maaf kepada warga emas itu kerana sepatutnya dialah yang pergi berjumpa dengan wanita tua itu.

Najib berkata, dia amat menghargai pertemuan tersebut dan menyifatkan wanita Cina itu sebagai kenalan dan tambahan kepada ‘krononi’nya.

“Saya tidak tahu apa yang pernah saya buat untuknya. Dengar saja saya ada di sekitar sini jumpa penduduk. Dia gembira dan mahu jumpa Najib. Terus dia minta orang bawa jumpa saya.

“Maafkan saya. Sepatutnya saya yang pergi kepada saudari. Saya tidak tahu apa yang pernah saya buat untuknya, atau berikan kepada mereka. Tetapi saya menghargai saat ini.

“Hari ini saya dapat seorang lagi kawan, seorang lagi kenalan, tambah lagi seorang kroni. Ya, rakyat kroni saya.
Saya doakan saudari dikurniakan kesihatan baik sentiasa,” kata Najib.-SM
(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button