Politik

Saya tidak pilih Mukhriz jadi TPM – Mahathir

AHLI Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahthir Mohamad menafikan beliau mengangkat anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Kedudukan Mukhriz sebelum ini disebut sebagai orang nombor tiga selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila kembali merampas Putrajaya nanti.

Menurutnya, dalam penyenaraian bersama Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini.

“Saya sedar saya akan dikritik apabila menama anak saya Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri 2.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM 2 sudahpun disebut.’

BACA > PKPP: Majlis sosial tidak dibenarkan jika penganjur sukar kawal keadaan, perilaku tetamu — Suara Merdeka

Demikian kata Dr. Mahathir dalam Facebooknya hari ini yang menjelaskan beliau tidak mencadangkan anaknya untuk menjawat jawatan ‘ke arah’ Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Dr. Mahathir mencadangkan Mohd. Shafie sebagai Perdana Menteri PH dalam usaha merampas kembali kerajaan persekutuan.

Beliau dikatakan memilih Ketua Menteri Sabah itu apabila sokongan terhadapnya untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga tidak mendapat tentangan Anwar.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan tidak mempengaruhi politik Mukhriz, anaknya dikatakan bebas untuk berpolitik.

“Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan.

BACA > Ancaman diterima saya adalah lumrah – Ayob Khan — Suara Merdeka

“Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik.

“Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis.

“Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamad dan Lim Guan Eng tidak menafikan atau mengiyakan cadangan pemilihan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, mereka menyatakan cadangan yang dibuat dalam pertemuan tidak rasmi di Rumah Tamu Sabah itu perlu diputuskan secara kolektif melalui Majlis Presiden PH.

BACA > Shafie PM: Jangan letak harapan terlalu tinggi – Bung — Suara Merdeka

Ini bermakna, pimpinan PH termasuk PKR masih belum menzahirkan persetujuan untuk memilih Ahli Parlimen Semporna sebagai Perdana Menteri mereka. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button