fbpx
Politik

Saya tidak berkomplot di belakang

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dia tidak membuat sebarang komplot secara senyap dengan pihak yang dianggap sebagai pengkhianat.

Anwar berkata, tuduhan kononya dia sedang membuat perancangan dengan pihak lain secara senyap merupakan satu helah yang dilakukan oleh pihak yang kemaruk dengan kuasa.

“Saya ingin merujuk dan menjawab tohmahan segelintir kumpulan kononnya saya sedang merencana dengan beberapa watak pengkhianat.

“Ingin saya tegaskan ia ternyata helah kelompok yang kemaruk kuasa. Fitnah akan dijadikan dalih dan alasan mereka bertapak.

“Saya tidak berkomplot di belakang seperti sesetengah pihak yang lain,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.


Anwar juga menafikan terhadap sebarang perbincangan sama ada dalam PKR mahupun di peringkat Pakatan Harapan untuk melakukan satu bentuk komplot dengan pihak lain.

Malah menurutnya perkara tersebut tidak dibangkitkan semasa pertemuan dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Ia tidak pernah dibincang dalam KEADILAN atau di peringkat Pakatan Harapan, dan tidak dibangkitkan dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

“Maka saya membantah sekerasnya dakwaan tersebut,” tegas Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Sinar Harian hari ini melaporkan kononnya Anwar bakal menyokong kepimpinan Muhyiddin dan PKR akan menjadi rakan baru dalam Perikatan Nasional.

Sokongan Anwar itu bagi mengukuhkan kedudukan Muhyiddin dalam mendepani usul undi penentuan kepercayaan terhadap beliau pada sidang Parlimen, 13 Julai nanti.

Portal berkenaan melaporkan seorang penganalisis politik veteran Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sokongan diberikan Anwar itu susulan kekecewaan beliau terhadap tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat berulangkali menafikan hak beliau sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang.

Sokongan itu juga kerana peralihan sokongan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kepada kumpulan Dr Mahathir.

Melalui perubahan sokongan kepada Muhyiddin,penganalisis itu mendakwa Anwar akhirnya dapat menggagalkan rancangan Dr Mahathir menjadikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri bagi blok pembangkang kelak.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button