Saya doakan Sajat kekal sebagai orang Islam – Aliff Syukri
USAHAWAN selebriti terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri sebelum ini memang mempunyai hubungan yang baik dengan usahawan kontroversi yang kini diburu pihak berkuasa, Sajat.
Malah, ada juga ura-ura yang mengatakan bahawa Aliff tahu di mana Sajat berada namun perkara itu dinafikannya.
“Saya memang dah lama tidak berhubung dengan Sajat dan tidak tahu langsung di mana dia berada.
“Saya sentiasa mendoakan sahabat saya tu. Malah, saya juga berdoa supaya dia kekal menjadi seorang yang beragama Islam dan melakukan yang terbaik,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelantikannya sebagai duta produk urutan kesihatan Gintell baru-baru ini.
Mengulas mengenai situasi yang dihadapi Sajat kini, Alif mengakui dia terkejut dengan apa yang berlaku.
“Kita sebagai manusia jangan cuba judge dia sebab kita sendiri pun ada keburukan. Saya tak menangkan sesiapa dan memang banyak soalan itu ditanyakan kepada saya. Saya pun tak tahu di mana dia berada.
“Jadi, saya memohon supaya kita beri ruang kepada dia. Kita jangan kutuk dia sebab kita tak tahu apa yang dia alami. Yang buruk biar dia dengan Tuhan,” katanya.
Sebelum memasuki bulan Ramadan, nama Sajat telah menjadi kontroversi selepas dia dikatakan telah memilih untuk keluar dari Islam.
Malah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut meminta bantuan kerjasama daripada polis untuk mengesan dan menangkap Sajat.
Sehingga kini, di mana Sajat berada masih menjadi tanya tanya. -SM