Nasional

Raja Muda Perlis titah pemimpin komuniti perlu pasti tiada ketinggalan dari kecap kemudahan asas

Pemimpin-pemimpin komuniti setempat adalah digesa untuk sentiasa peka dengan keadaan komuniti sekeliling bagi mengenalpasti ahli masyarakat yang mungkin ketinggalan dalam akses kemudahan perkhidmatan kesihatan berdasarkan keperluan mereka. Ini bagi memastikan semua masyarakat mendapat peluang yang sama untuk hidup dalam persekitaran yang lebih kondusif dan sihat.

Apabila semua individu dalam masyarakat mendapat peluang yang sama dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan, maka seluruh masyarakat akan sihat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 23 bagi tahun 2021 sejauh 9km yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Ghufran, Batu 2 Lama, Perlis dianjurkan oleh pihak MAIPs bersama-sama dengan RHB Islamic Bank baru-baru ini.

Turut serta dalam program tersebut ialah Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Datuk Adissadikin Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor.

Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19, negara-negara Pasifik Barat termasuk Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi dan urbanisasi yang pesat. Ini sekaligus telah membuka peluang untuk semua rakyat mendapat kehidupan yang lebih baik termasuk di dalam isu kesihatan. Namun begitu, apabila Pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sejak penghujung 2019, kesannya amat ketara. Walaupun ada orang bernasib baik kerana tidak begitu terjejas dengan pandemik ini, namun sebilangan besar juga telah kehilangan sumber pendapatan akibat peluang pekerjaan terhad. Ini sekaligus menjejaskan kehidupan harian mereka dalam mendapatkan bekalan makan yang selamat dan mencukupi, persekitaran selamat, keperluan air dan udara bersih serta perkhidmatan kesihatan.


Tambah baginda lagi, ‘Keadaan ini akan menjurus kepada kemudaratan terhadap penyakit yang dapat dielakkan seperti tekanan mental, penyakit berjangkit dan sebagainya. Kumpulan yang paling berisiko adalah terdiri daripada mereka yang lemah seperti kanak-kanak, warga tua, penghidap penyakit-penyakit kronik, wanita hamil dan juga golongan termiskin’.

Bersempena program kali ini, sebanyak tiga buah keluarga asnaf terpilih disampaikan sumbangan berjumlah RM1000 oleh pihak RHB selain sumbangan agihan zakat MAIPs berupa wang tunai, keperluan makanan dan beras di samping kotak berisi bahan mentah makanan daripada Yayasan Muallaf Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan.

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button