Nasional

Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari – PM

PERUTUSAN

YAB TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

PERDANA MENTERI

SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 1442H / 2021M

(RAKAMAN PADA ISNIN 10 MEI 2021 JAM 11.00 PAGI)

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Aidilfitri .

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

Alhamdulillah , marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat menyempurnakan ibadah puasa di sepanjang bulan Ramadan yang melabuhkan tirainya pada malam ini .

Saya percaya ramai di kalangan kita yang akan merindui bulan Ramadan yang telah kita lalui. Saya mendoakan agar saudara dan saudari sekalian dikurniakan ganjaran pahala, rahmat dan tahap ketaqwaan yang lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelum ini. Taqaballahu minna wa minum. Semoga Allah Subhana Wa Taala menerima amalan kita semua, Insya-Allah.

Kita juga bersyukur kepada Allah Subhana Wa Taala kerana jika dibandingkan dengan tahun lalu, lebih ramai dalam kalangan kita yang dapat menunaikan solat Tarawih di masjid dan surau secara berjemaah pada tahun ini mengikut SOP yang ditetapkan.

Namun begitu, kita juga sedar bahawa situasi COVID-19 di negara kita dan di seluruh dunia belum pulih. Malah gelombang ketiga COVID-19 yang sedang melanda negara kita dan negara lain di seluruh dunia adalah lebih mencabar. Sejak beberapa hari yang lalu, kes-kes positif COVID-19 di negara kita mencecah lebih 4,000 kes sehari . Negara kita mencatatkan trend peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa minggu yang lalu.

Lebih membimbangkan, terdapat varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa buah negara lain.

Saya cukup bimbang apabila varian-varian ini telah mula dikesan di negara kita .

Penularan varian -varian baharu ini harus disekat. Untuk itu kita mengambil satu langkah yang tegas dan drastik bagi memutuskan rantaian jangkitan ini di negara kita.  Dijangkakan jumlah kes harian COVID-19 akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Pada masa itu , seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan yang kritikal pada masa ini akan lumpuh . Sepertimana yang berlaku di negara lain , pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital – hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit.

Pada masa ini, hospital-hospital di negara kita telah hampir mencapai kapasiti maksimum. Katil-katil wad ICU semakin penuh. Kita boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator. Tetapi jika kes-kes positif naik dengan mendadak, sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan pun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah setiap hari.

Saya meneliti data-data sejak beberapa minggu yang lalu. Kawasan-kawasan yang dahulunya hijau sedikit demi sedikit bertukar menjadi kuning dan kemudian merah. Kerajaan pada mulanya mengambil tindakan secara bersasar untuk mengekang penularan virus dalam komuniti. Kita laksanakan PKP di beberapa buah negeri dan daerah. PKPD juga dilaksanakan di beberapa kawasan.

Tetapi virus ini menular dengan begitu cepat dan kadar kebolehjangkitan varian-varian baharu ini adalah lebih tinggi. Dalam tempoh beberapa minggu sahaja hampir semua kawasan di negara kita telah bertukar menjadi merah dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik, iaitu penularan di dalam komuniti, dan hampir 80 peratus kes positif yang dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.

Kita harus faham bahawa negara kita sedang berhadapan dengan virus yang begitu cepat merebak, lebih-lebih lagi dengan mutasi varian yang kita sedia maklum. Situasi yang sangat dinamik ini telah menyebabkan perubahan ke atas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan seperti PKPP, PKPB, PKP dan PKPD juga perlu dilakukan dengan pantas untuk segera mengelakkan penularan jangkitan yang lebih teruk.

Dengan perkembangan terbaharu ini, negara kita sedang berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan. Jika tiada tindakan tegas dan drastik diambil, negara kita boleh terjerumus ke dalam suatu malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang parah, na’uzubillah. Jadi, dua hari yang lalu saya telah umumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

Kita kuat kuasakan semula larangan rentas daerah dan rentas negeri di samping larangan terhadap aktiviti sosial, pendidikan dan sukan kecuali sukan individu di kawasan terbuka. Ziarah hari raya juga tidak dibenarkan. Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan tetapi dengan jumlah kehadiran jemaah yang terhad.

Saya tahu, ini bukanlah satu keputusan yang popular. Ada yang marah kepada saya. Kenapa ambil tindakan begini ketika umat Islam akan menyambut 1 Syawal esok. Sudahlah tak boleh balik kampung. Nak ziarah keluarga dan sahabat handai pun tak boleh. Zalim sangatkah Kerajaan ini?

Saudara-saudari, saya bukan zalim. Saya ambil keputusan ini untuk lindungi nyawa saudara-saudari. Kalau saya benarkan ziarah dari rumah ke rumah, mana lah tahu ada tetamu yang datang ke rumah saudara-saudari itu positif COVID-19. Ini kerana ramai pesakit COVID-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom. Dia sendiri pun tidak tahu dia dijangkiti. Situasi seperti ini akan menyukarkan lagi usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Bayangkan kalau tetamu ini datang ke rumah saudara-saudari, maka berjangkitlah penyakit itu kepada saudara-saudari. Selepas itu dia pergi ke rumah orang lain. Berjangkit pula kepada tuan rumah itu. Kalau dia ziarah 10 buah rumah, maka 10 keluarga akan dijangkiti COVID-19. Akhirnya, habis sahaja kita merayakan Aidilfitri, jumlah kes positif COVID-19 di negara kita berkemungkinan melonjak ke puluhan ribu sehari, naúzubillahi min zalik.

Ini bukan perkara main-main. Ini adalah satu keputusan yang sukar tetapi mesti dibuat. Keputusan ini tidak popular dan mungkin tidak memuaskan hati saudara dan saudari. Tetapi pada hemat saya ini yang tepat yang saya perlu lakukan untuk menyelamatkan kehidupan dan masa depan saudara dan saudari sekalian. Saya faham dan sedar anda marah kepada saya tetapi ini ikhtiar saya dan kerajaan untuk jaga nyawa saudara dan saudari. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah S.W.T.

Saya bukan nak mengatakan dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan ini memberi seratus peratus jaminan bahawa angka-angka COVID-19 di negara kita tidak akan meningkat. Tidak. Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kita semua patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ia bergantung kepada disiplin kendiri kita masing-masing. Sejauh mana kita berdisiplin dan beristiqamah dalam melawan virus ini.

COVID-19 akan menjadi lemah jika kita dapat putuskan rantaiannya. Bagaimana nak putuskan rantaian? Elakkan berada di tempat yang sesak. Elakkan perkumpulan ramai. Jaga jarak fizikal anda dengan orang lain. Jangan duduk dekat-dekat. Sentiasa pakai pelitup muka. Sentiasa bersihkan tangan. Sentiasa jaga kebersihan diri. Jika tiada urusan penting di luar rumah, duduk sajalah di rumah. Stay at home.

Jika saudara dan saudari amalkan perkara-perkara yang mudah ini, rantaian jangkitan COVID-19 akan terputus, virus ini akan menjadi semakin lemah dan insya-Allah akan dapat ditewaskan akhirnya.

Jadi saya nak merayu kepada sadara dan saudari sekalian, tingkatkan disiplin diri, patuhilah SOP pada setiap masa. Duduklah di rumah. Tak perlulah ke sana sini kalau tiada urusan penting. Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa dan perlindungan yang terbaik ialah di rumah kita sendiri. Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini.

Untuk meningkat lagi keberkesanan tindakan kesihatan awam dalam memerangi COVID-19, kementerian kesihatan malaysia akan meningkatkan ujian swab COVID-19 dan melaksanakan pengesanan kontak yang lebih meluas dalam tempoh PKP ini.

Kita telah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dalam gelombang yang pertama. Kita juga telah berjaya mengurangkan angka-angka jangkitan COVID-19 dalam gelombang yang kedua. InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t. dan disiplin kendiri kita melawan COVID-19, kita akan berjaya menewaskan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi pada masa ini. InsyaAllah, kita akan beroleh kemenangan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Walaupun PKP dilaksanakan, kerajaan tidak menutup sektor ekonomi. Industri dan perniagaan boleh terus beroperasi dengan mematuhi SOP yang ketat. Kita belajar daripada pengalaman lalu jika sektor ekonomi ditutup negara kehilangan hampir RM2.4 bilion sehari dan kadar pengangguran meningkat. Ini akan merugikan negara dan menyusahkan rakyat.

Oleh itu, pada kali ini kerajaan tidak menutup sektor ekonomi. Namun, pemantauan akan dibuat dengan lebih ketat ke atas premis-premis perniagaan, kilang-kilang dan asrama tempat tinggal pekerja untuk mengelakkan jangkitan berlaku dalam sektor-sektor berkaitan. Jadi, saya menyeru kepada majikan dan pekerja supaya sentiasa mematuhi SOP di tempat kerja dan melaksanakan dasar bekerja dari rumah untuk mengurangkan kesesakan di tempat kerja.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti, penat lelah serta pengorbanan anda semua siang dan malam bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan kita semua. Saya doakan agar saudara dan saudari diberikan ketabahan dalam menjalankan tugas dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.

Ramadan harus mengajar kita untuk lebih bersabar dan senantiasa tunduk kepada perintah Allah. Mudah-mudahan dengan melalui tarbiah ramadan sepanjang sebulan yang lalu, kita akan menjadi insan yang lebih bertakwa dan bertawaduk, lebih tabah dan reda dengan segala ujian dan ketentuan Allah.

Marilah kita terus berdoa kepada Allah SWT agar diberikan pertolongan kepada segala ikhtiar kita dalam mendepani wabak COVID-19, serta kembali memulih dan memakmurkan negara yang kita cintai ini.

Marilah kita menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T:

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala-Asyarafil Anbiya’I Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in

Ya Allah, dengan keberkatan bulan Syawal yang penuh kemuliaan ini, kami zahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas segala anugerah-Mu kami masih dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, sebagai hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menghadapi segala cubaan dan dugaan melawan kehendak nafsu dengan keimanan, ketabahan dan kesabaran sepanjang Ramadan yang telah lalu.

Ya Allah ya Ghafur, kami memohon keampunan atas segala dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami dan seluruh kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah kembali kepada-Mu ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kami juga memohon restu dan rahmat-Mu berikanlah hidayah dan petunjuk kepada hati-hati kami, perkukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, permudahkanlah urusan kami khususnya dalam menghapuskan wabak COVID-19 yang masih melanda negara kami.

Ya Allah ya Tuhan kami, sempurnakanlah pekerjaan kami, berikanlah kekuatan serta semangat yang tinggi khususnya kepada petugas barisan hadapan di kalangan hamba-Mu ini, ke arah melaksanakan amanah dan amal soleh, serta dipanjangkan usia dengan sihat wal-afiat menabur bakti dan jasa kepada agama, bangsa dan negara kami yang tercinta ini.

Ya Allah, kami pohonkan juga ya Allah keselamatan dan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran serta keberkatan dan keredaan-Mu kepada negara kami yang kami kasihi ini, rakyatnya sejahtera sentosa dan agama-Mu terus terpelihara di bawah lindungan rahmat dan inayah-Mu ya Allah.

Perkenankanlah ya Allah segala hajat dan harapan kami ini.

Amin, Amin ya Rabbal A’lamiin.

Terimalah ucapan selamat hari raya aidilfitri dari saya dan isteri Noorainee serta seisi keluarga. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button