Hiburan

Santapan halwa telinga, jiwa Ahlan Ya Ramadan dari Ustaz Zoul

PENAT sudah dengar lagu dari seberang, “Ramadan tiba, Ramadan tiba… Ramadan ya Ramadan…” dan apa kata, kali ini, kita dengar pula lagu dendangan Ustaz Zoul atau pemilik nama sebenar, Hazizul Masdin, Ahlan Ya Ramadan yang membawa mesej positif dalam setiap umat Islam di bulan yang mulia ini.

Lazimnya setiap kali masuk waktu solat, adalah menjadi tugasan bilal untuk melaungkan azan bagi menyeru orang ramai supaya mendirikan solat.

Bagi penduduk di sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor,  mereka sudah biasa mendengar laungan azan daripada Hazizul Masdin sejak 2016.

Kini bukan setakat mendengar Hazizul atau Ustaz Zoul, 38, melaungkan azan tetapi juga boleh mendengar beliau menyanyi.

Ustaz Zoul telah melancarkan single pertamanya berjudul Ahlan Ya Ramadan dengan kerjasama composer, Daqmie (Azmee Abdul Manap).

Kredibiliti Ustaz Zoul sebagai penyanyi tidak disangkal kerana beliau sudah didedahkan dengan dunia seni hiburan sejak di sekolah rendah lagi.

Bahkan beliau banyak menyertai kumpulan nasyid cuma baharu sekarang Ustaz Zoul berpeluang menghasilkan lagu rakaman studio untuk diperdengarkan secara meluas.

“Sebelum ini saya hanya memuat naik lagu-lagu dendangan saya di sosial media sahaja dan pernah jugalah viral sewaktu melaungkan azan kepada pelancong dari Jepun yang melawat masjid Negeri Selangor sebelum ini.

“Jadi, kesempatan untuk merakam lagu terjadi apabila saya bertemu dengan Daqmie yang juga seorang penyanyi terkenal yang banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir bagi rakaman lagu-lagu nasyid dan kerohanian.

“Sebenarnya, sewaktu bertemu dengan Daqmie, saya berhasrat nak minta dia buatkan susunan muzik untuk saya buat lagu cover sempena Ramadan.

“Dia pula mencadangkan kepada saya supaya mengeluarkan single sendiri untuk Ramadan ini daripada mezahirkan lagu cover,” kata Ustaz Zoul melalui satu kenyataannya.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Ustaz Zoul tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan cadangan Daqmie. Lagu Ahlan Ya Ramadan adalah ciptaan sepenuhnya Ustaz.

Bercerita tentang pengalamannya merakam lagu di studio rakaman Tarbiah Sentap, Shah Alam, jelas Ustaz Zoul, disebabkan lagu itu ciptaannya maka tidak ada masalah untuk beliau menghayati sewaktu rakaman dengan bimbingan daripada Daqmie.

Beliau juga menjelaskan, penulisan lirik bukanlah satu perkara baharu kepadanya kerana sebelum ini, beliau kerap menghasilkan lirik lagu ciptaan sendiri untuk didendangkan bersama kumpulan Dvision bila mengadakan persembahan.

Tambah Ustaz Zoul lagi, Ahlan Ya Ramadan yang menampilkan genre nasyid adalah lagu yang menjurus kepada irama padang pasir dan berentak rancak bagi memeriahkan suasana Ramadan.

“Tidak lengkap kalau tida ada video muzik dan video muziknya telah siap dirakam di sekitar masjid negeri dan suasana padang pasir pula dirakam di Melaka.

“Ahlan Ya Ramadan adalah single solo pertama saya. Walaupun saya adalah anggota dan ketua kumpulan nasyid Dvision tetapi inilah pertama kali saya menghasilkan lagu rakaman.

“Semua lagu ciptaan saya untuk Dvision sebelum ini adalah sekadar untuk persembahan sahaja,” katanya.

Untuk rekod, selain tugas hakikinya sebagai bilal, Ustaz Zoul juga merupakan tenaga pengajar dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Akademi Muazzin, Maulana Edutainment dan Zoul Creative Studio serta kerap dipanggil menjadi juri untuk pertandingan nasyid.

Bagi Ustaz Zoul, beliau percaya nyanyian juga merupakan salah satu cabang untuk menarik perhatian orang di luar sana untuk mendekati agama Islam.

“Dalam usaha untuk mengembangkan dakwah, bukan sahaja tertakluk kepada ceramah, percakapan atau berhujah sahaja, sebaliknya nyanyian juga merupakan satu metadologi untuk berdakwah.

“Nyanyian ini lebih mudah untuk orang menerima dan memahami kerana semua orang suka kepada keindahan lagu dan semua orang suka kepada bunyi-bunyian.

“Jika dengan nyanyian ini ia lebih menusuk hati dan menyentuh perasaan orang untuk menerima apa yang ingin kita sampaikan, tak ada masalah untuk berdakwah dengan cara itu,” katanya.

Untuk single Ahlan Ya Ramadan ini, Ustaz Zoul berharap supaya masyarakat dapat terima lagu ini dengan baik dan para pendengar boleh memahami isi kandungan dan apa yang tersirat dalam lagu tersebut. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button