JenayahNasional

Samun Syawal, lima individu berjaya ditahan Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran bersama lima orang suspek disyaki pencuri besi buruk di perairan Johor Timur pagi semalam.

Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili telah menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada pukul 10.45 pagi sebuah bot tunda BONGAWAN 9 bersama barge HEXAGRO 9 dengan muatan besi buruk dalam perjalanan daripada Labuan menuju Pelabuhan Klang telah dinaiki beberapa orang suspek dan cuba mencuri muatan barge tersebut di kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

Sejurus aduan diterima, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan diatur gerak ke lokasi kejadian. Menyedari kehadiran Maritim Malaysia, suspek bertindak cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dan ditahan pada pukul 11.50 pagi di kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

Semasa diiring ke jeti Pos Maritim Pengerang, bot tahanan telah mengalami kebocoran yang tidak dapat dikawal dan telah tenggelam pada kedudukan 2.0 batu nautika tenggara Tanjung Bulat.

Lima lelaki tersebut merupakan warga Indonesia berumur di antara 31 hingga 53 tahun dan kesemua suspek telah dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk yang mana jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM 4 ribu. Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM 10 ribu serta boleh dikenakan enam sebatan.

Berdasarkan statistik yang direkodkan sejak 2018, kejadian ini merupakan kejadian kesembilan yang sama dilaporkan dan berjaya ditangani Maritim Malaysia.

Modus Operandi yang digunakan oleh kumpulan ini sama seperti kejadian-kejadian yang lalu iaitu mensasarkan bot atau kapal yang bergerak perlahan. Mereka melakukan aktiviti ini secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata. Barang-barang yang biasanya dicuri adalah besi buruk atau apa-apa sahaja barang yang mudah diambil seperti tali dan sebagainya.

Berdasarkan kejadian yang berlaku, Maritim Malaysia akan mempertingkatkan lagi operasi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya di kawasan sempadan perairan negara.

Ini kerana Maritim Malaysia percaya, selain kejadian yang dilaporkan dan berjaya ditangani, berkemungkinan terdapat kes yang sama berlaku ke atas bot atau kapal yang melalui perairan negara namun tidak dilaporkan untuk tindakan.

Justeru itu, pengusaha-pengusaha kapal dinasihatkan yang menggunakan laluan perairan ini untuk lebih berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghindari kejadian seumpama ini berlaku di masa hadapan seperti sentiasa mengaktifkan Ships Automatic Identification System (AIS), menambah jumlah petugas pemerhati kapal, berjaga-jaga dengan kehadiran bot yang mencurigakan serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya sesuatu insiden berlaku. – SM

Baca ini > Dua anggota Maritim Malaysia cedera terkena tembakan dalam OP PAGAR LAUT

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button