Sampah jadi rezeki warga emas, boleh buat badal haji arwah ibu bapa
REZEKI warga emas ini hanya diperolehi dengan cara mengutip barang-barang lusuh dan terpakai, botol dan tin yang dibuang oleh masyarakat.
Bagaimanapun dengan kegigihannya mencari rezeki yang halal, warga emas yang mempunyai sedikit kecacatan pada kakinya itu berjaya membesarkan empat orang anak.
Lebih daripada itu, siapa sangka kerana berkat mencari sumber pendapatan dengan menggunakan tulang empat kerat, dia yang telah berusia 65 tahun mampu membuatkan haji badal untuk arwah kedua-dua orang tuanya.
Makcik Fatimah. Itulah panggilan masyarakat setempat terhadap warga emas yang tinggal di Dengkil, Selangor ini. Kisahnya diceritakan oleh seorang pemilik Facebook yang menggunakan akaun Siti Kamsari.
Jelas Siti Kamsari, penduduk Dengkil sering melihat Makcik Fatimah yang telah berusia 65 tahun menolak kereta sorong bayi untuk mengutip barang-barang yang dianggap sampah oleh orang lain.
“Dia berjalan ke sana sini sambil menolak sebuah kereta sorong bayi yang sudah buruk untuk memudahkannya membawa barang-barang lusuh yang beliau cari di sekitar kampung.
“Kadang-kala hanya dengan tangan kosong sahaja beliau membawa dan mengheret guni-guni berisi botol plastik, tin-tin atau apa sahaja yang boleh ditukarkan dengan duit.
“Tiap kali dia datang ke rumah, tiada cara lain saya sediakan apa juga yang boleh dia bawa pulang untuk dijual di sebuah kilang lusuh barang yang terdapat di kampung ini. Tapi selalunya sedar-sedar dia sudah berjalan pulang tanpa sempat sayamengajaknya minum,” cerita Siti Kamsari.
Kisah Makcik Fatimah mungkin biasa-biasa sahaja. Namun dalam serba kekurangan dia gigih mencari rezeki yang halal untuk menyara diri sendiri dan anak-anaknya.
Lebih mengagumkan, dia mampu menyimpan wang sedikit demi sedikit dengan niat untuk membuat haji badal untuk arwah ibu bapanya.
“Pada suatu hari beliau datang ke rumah saya dan meminta tolong dari mak. Kali ini? Minta mak saya bantunya uruskan ibadat haji badal untuk arwah ibu dan ayahnya.
“Hasil beliau mengutip barang-barang lusuh rupa-rupanya bukan sahaja untuk menampung belanja hidup. Tapi dapat dikumpulkan untuk menampung kos badal haji untuk kedua-dua orang tuanya. Subhanallahhhh!
“Saya menyaksikan sendiri, Makcik Fatimah menyerahkan sampul surat besar berisi wang untuk membayar kos badal haji tersebut,” kata Siti Kamsari.
Menurut Siti Kamsari, kisah Makcik Fatimah memberi banyak pengajaran kepada mereka yang mahu berfikir.
Makcik Fatimah hidup dalam serba kekurangan. Namun dia tidak pernah meminta-minta walaupun tenaganya makin kurang kerana usia yang lanjut dan kakinya yang tidak sempurna seperti orang lain.
Dia berusaha mencari rezeki sehingga mampu membesarkan anak-anak dan membuatkan haji badal untuk kedua orang tuanya yang telah pergi selama-lamanya.-SM