Ekonomi

Untung bersih suku ketiga F&N susut kepada RM93.85 juta

KEUNTUNGAN Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) merosot pada suku ketiga berakhir 30 Jun, 2020 kepada RM93.85 juta daripada RM114.94 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

Ini akibat kesan pendamik Covid-19 yang menyebabkan perolehan syarikat makanan dan minuman itu turun 13.9 peratus tahun ke tahun kepada RM918.07 juta daripada RM1.07 bilion.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan permintaan pengguna terhadap produknya menurun.

Perolehan F&B Malaysia turun 19.3 peratus kepada RM461.4 juta di celah-celah penularan pandemik dan PKP.

Sementara itu, perolehan F&B Thailand berkurangan 7.7 peratus kepada RM455.8 juta, terutamanya disebabkan oleh penguncupan jualan di pasaran domestik dan Indochina, walaupun ia sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan eksport.

Bergerak ke hadapan, kumpulan itu berkata kini terdapatnya tanda-tanda sementara pemulihan   permintaan dari Malaysia, Thailand dan beberapa pasaran eksport.

“Oleh itu, kami agak yakin jualan dalam suku keempat akan lebih baik berbanding suku ketiga dengan aktiviti ekonomi telah beransur-ansur kembali seperti biasa.

“Dalam tempoh jangka panjang, kami percaya pandemik ini adalah peluang untuk membetulkan semula keadaan dan menjadi pemangkin perubahan,” kata F&N dalam makluman kepada Bursa Malaysia. – SM

(Visited 642 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button