Nasional

Sambutan Maulidur Rasul di Melaka paling meriah

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka disambut paling meriah hari ini selepas dua tahun majlis perhimpunan dan perarakan tidak dapat diadakan akibat pandemik Covid-19 melanda negara dan seluruh dunia.

Tidak tergambar wajah kegembiraan dalam kalangan peserta daripada 118 kontinjen membabitkan 5,267 orang daripada pelbagai agensi kerajaan, anak-anak syarikat, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli jawatankuasa masjid dan surau serta banyak lagi termasuk syarikat-syarikat swasta.

Perarakan bermula kira-kira pukul 7.30 pagi itu mula berhimpun di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit ke Dataran Pusat Islam di Bukit Palah melalui Jalan Taman Bandaraya, Jalan Bukit Piatu, Jalan Bukit Baru tamat di Pusat Islam Melaka.

Mohd. Ali Mohd. Rustam berucap merasmikan sambutan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka.

Orang ramai pula tidak melepaskan peluang beratur di sepanjang laluan kontinjen perarakan yang diketuai Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali disertai Exco Kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakuran’ jelas tidak terpancar wajah keletihan dalam kalangan semua kontinjen sebaliknya gembira melangkah walaupun terpaksa berjalan sejauh 3.91 kilometer (km).

Sulaiman dalam ucapannya selepas tamat perarakan berkata, perpaduan umat Islam merupakan perkara utama yang perlu diberi perhatian kerana Islam menekankan persefahaman dan perpaduan.

Justeru beliau menyeru umat Islam diseru meningkatkan persefahaman dan perpaduan demi kepentingan bersama sekaligus menjadikan ukhuwah Islamiah sebagai benteng ampuh bagi menepis agenda negatif musuh-musuh Islam.

“Kita tidak sepatutnya bersikap berdiam diri tanpa berbuat apa-apa apabila maksiat berlaku atas alasan memelihara perpaduan.

“Ini kerana menegakkan kebenaran dan membasmi maksiat dan keburukan merupakan tugas yang wajib bagi umat Islam,” katanya berucap di hadapan peserta kontinjen yang mengambil bahagian pada Majlis Perhimpunan Dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini hari ini.

Sebahagian daripada kontinjen yang menyertai perarakan Maulidur Rasul dari Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit hingga ke Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka.

Majlis perasmian telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Sulaiman berkata, Menurutnya, menegakkan kebenaran dan membasmi maksiat serta keburukan merupakan tugas yang wajib bagi umat Islam sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud : “…Kamu merupakan sebaik-baik ummah yang diutuskan untuk menyerukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah.”

“Sejak akhir-akhir ini kita melihat bahawa bibit-bibit perpecahan mula menular dalam kalangan umat Islam disebabkan faktor hilangnya kepercayaan dan apabila amanah dikhianati,” ujarnya.

Justeru beliau meminta seluruh umat Islam di negeri ini untuk sama-sama berdoa dan memohon syafaat Rasulullah SAW agar semangat Keluarga Malaysia terus disematkan di dalam hati sanubari kita selari dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pelbagai program telah diatur bagi menyemarak sambutan tersebut seperti program Malam Cinta Rasul yang dihadiri lebih 3,000 orang di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, malam tadi.

Sambutan yang bermula kira-kira pukul 6.00 petang dimulakan dengan Bacaan Ratib Al-Attas dan Asma Al-Husna oleh pelajar Al-Muhibbin sebelum solat Maghrib berjemaah di Masjid Al Azim.

Selain itu majlis itu diserikan dengan alunan Mawlid Dibaei, Mahalul Qiyam dan Qasidah oleh Sayyid Arshid Sayyid Yasin sebelum diteruskan dengan ceramah. -SM

(Visited 574 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button