Nasional

Salahuddin tidak campur tangan dalam pertukaran KSU

PERTUKARAN Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah satu prosedur biasa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau tidak campur tangan dalam pertukaran itu yang berada di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ismail Bakar dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Semalam saya menerima satu notis daripada Pejabat Perkhidmatan Awam, ada empat atau lima orang yang ditukarkan. Ada yang berpindah kementerian.

“Saya baca melalui WhatsApp group, dan tiada penafian rasmi, jadi saya anggap itu satu keputusan biasa di pejabat KSN atau Ketua Pengarah JPA. Namun, saya belum dapat notis rasmi daripada mana-mana pihak. Terpulang kepada KSN, saya tidak mencampuri bidang kuasa yang ada pada KSN atau JPA,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada pertukaran itu berkaitan siasatan dalaman yang sedang dijalankan, Salahuddin berkata beliau tidak pernah mengarahkannya atau menerima sebarang arahan.

Salahuddin mengulas laporan portal berita kononnya Mohd Sallehhuddin ditukarkan susulan kontroversi membabitkan tender padi bernilai RM1.4 bilion kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dibuat secara rundingan terus. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button