Nasional

SPA, Jabatan Audit Negara antara yang akan menghuni Parcel F Putrajaya

KOMPLEKS kerajaan Parcel F di Presint 1 di sini yang siap dibina pada April lalu, akan mula diduduki mulai 1 Jan 2020, dengan menempatkan lebih 5,000 kakitangan dari 11 jabatan dan agensi kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata kompleks yang dibina dengan kos lebih RM1.8 bilion itu, telah siap tujuh bulan lebih awal dari perancangan.

“Parcel F ini juga merupakan projek pertama kerajaan yang mengaplikasikan ‘Building Infomation Modelling’ (BIM) dari peringkat reka bentuk sehingga ke peringkat pengurusan fasiliti, serta bercirikan mesra alam,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Kompleks Kerajaan Parcel F Putrajaya, di sini hari ini.

Ismail berkata adalah diharapkan para penjawat awam menghargai kompleks bangunan baru tersebut, dengan menjaga dan menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya.

“Apa yang penting bagi sesebuah pembinaan bangunan adalah, kerja-kerja penyelenggaraan untuk memastikan Parcel F ini dapat dipelihara keadaannya, dan dapat berfungsi dengan baik untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Parcel F adalah kompleks pejabat kerajaan yang mempunyai 10 blok, yang terdiri daripada sembilan menara pejabat, serta blok kemudahan berkongsi termasuk dewan serbaguna, surau dan kafeteria, dengan keluasan tapaknya kira-kira 33.47 ekar.

Bangunan tersebut dibina dengan menampil motif rekaan yang ditafsirkan dari pakaian tradisional ‘songket’ yang ditampilkan melalui nilai estetika dengan penggunaan pelbagai bahan, warna dan tekstur kepada pembangunan kompleks tersebut.

Kompleks Parcel F akan menempatkan pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam; Jabatan Audit Negara; Jabatan Perancang Bandar dan Desa; Jabatan Landskap Negara; Jabatan Perangkaan, Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Kerja Raya Wilayah Persektuan Putrajaya; Unit Kerjasama Awam Swasta; Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran; Unit Kawal Selia Felda; Biro Tatanegara dan Biro Pengaduan Awam. – BERNAMA

(Visited 1,962 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button