Nasional

KSU seharusnya bukan `Yes Man’

KOMENTAR

KETIKA berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dikenali sebagai pegawai tertinggi di kementerian itu kerana ketinggian lebih enam kaki.

Mohd Sallehhuddin beberapa hari lepas menggamit perhatian ramai apabila Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu (MOA) secara tiba-tiba dipindahkan ke Jawatan Penempatan Khas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa serta-merta.

Menyifatkan ada hikmah di sebalik ketentuan yang ditetapkan tuhan apa yang dihadapinya, pemindahan Mohd Sallehhuddin dikatakan ada kaitan dengan pendedahan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang membongkar beberapa bukti salah guna kuasa berkait Menteri Pertanian, Datuk Seri Salahudin Ayub dengan agensi di bawahnya, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Antara pendedahan Ka Siong, menteri terbabit didakwa telah membatalkan tender beberapa syarikat tempatan yang sebelum ini sudah pun dipersetujui membekal, menghantar dan menjalankan Kerja-kerja Pengapuran Di Bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk tempoh tiga tahun dengan tawaran berjumlah RM52.4 juta.

Syarikat-syarikat berkenaan telah memenangi tender tersebut secara terbuka dan sah, tetapi dibatalkan secara tiba-tiba. Untuk rekod, tender berkenaan telah dipersetujui Lembaga Perolehan Kementerian yang ditandatangani oleh Mohd Sallehhuddin selaku KSU MOA, Wakil Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Wakil Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya.

Andai benar `pemecatan’ Mohd. Sallehhuddin berkisar `skandal’ di MOA berkenaan, Suara Merdeka tertanya-tanya apakah ada asas pengurusan/pentadbiran dan etika dalam menghukum seorang KSU secara `unilateral’ begini? Apakah ada jalan keluar bagi kes KSU seperti Mohd Sallehhuddin menebus maruahnya?

Realiti yang harus diakui, tugas penjawat awam adalah menasihat menteri dalam keupayaan profesional yang terbaik. KSU seharusnya bukan hanya ‘Yes Man’ kerana beliau mempunyai tanggungjawab membuat keputusan yang betul sepanjang perkhidmatannya.

Jika ada sesuatu keputusan yang tidak betul, KSU harus bersuara.

Penjawat awam boleh untuk tidak bersetuju dengan menteri dengan menggunakan pendekatan diplomasi. Itulah cara profesional yang dilatih kepada penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka.

Mereka yang dilantik sebagai KSU perlu dilengkapi pengetahuan undang-undang dan peraturan supaya mereka boleh mematuhi undang-undang, sekali gus boleh membantu menasihatkan menteri dengan memberikan panduan yang tepat.

Apakah menteri berhak atau berkuasa memilih KSU pilihan mereka?

Jawapannya tentu sekali tidak. Mengehadkan bidang kuasa menteri memilih KSU boleh mengekang penyalahgunaan kuasa, rasuah dan salah guna dana kementerian.

Urusan memilih KSU kementerian perlu diletakkan di bawah tanggungjawab Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengelakkan penjawat jawatan itu sekadar menjadi ‘pak turut’ menteri.

Dan JPA wajar menamakan tiga calon layak dan mengemukakannya kepada menteri untuk membuat pemilihan akhir.

Tugas dan peranan KSU kementerian adalah menggubal dasar kementerian, menyusun belanjawan kementerian dan merancang program pembangunan untuk mencapai dasar, objektif serta menentukan strategi pelaksanaan agensi pelaksana di bawah kementerian.

KSU adalah penjawat awam yang memegang amanah untuk buat (berkhidmat) yang terbaik. Mereka yang dipilih perlu memberikan perkhidmatan kepada kerajaan dan rakyat.

Mereka yang dipilih daripada pegawai kerajaan yang layak, tentu sekali mempunyai integriti dan pengalaman dalam pentadbiran diplomatik untuk dilantik sebagai KSU kementerian.

Biarpun begitu andaian atau tanggapan banyak pihak, Salahuddin bagaimanapun telah membuat penjelasan isu di MOA itu. Beliau menegaskan isu pemberian projek bernilai RM1.4 bilion secara rundingan terus bukan satu skandal.

Dana berkenaan, katanya, masih berada di Kementerian Kewangan dan bukan masuk ke akaun lain seperti yang berlaku dalam beberapa skandal di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Isu `skandal MOA’ ini dipercayai belum berakhir. Salahuddin `belum selamat lagi’ kerana pastinya pembangkang agresif untuk mencari faktanya.

– SUARA MERDEKA

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button