BeritaNasional

Luahan hati KSU Kementerian Pertanian?

Berikut dipercayai luahan hati Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan yang ditukarkan ke Jawatan Penempatan Khas ekoran kemelut kontrak RM1.4 bilion.

 

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera semua.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, setiap yang bermula pasti ada pengakhirnya. Suka saya maklumkan bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian telah tamat bermula pada 22 November 2019.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya di MOA bermula pada Februari 2014 sebagai SUB Pembangunan diikuti sebagai KP LKIM bermula Mei 2015, TKSU Dasar bermula Februari 2016 dan sebagai KSU pada 2 Julai 2018, saya telah memberikan yang terbaik dalam memastikan MOA menjadi satu kementerian yang dipandang tinggi dan ditadbir urus dengan baik. Di samping itu, tanggung jawab untuk menjamin sekuriti makanan, meningkatkan pendapatan golongan sasar dan pendapatan negara telah kita semua gembeling dalam satu team MOA yang kukuh. Saya tidak pernah kesal apatah merasa penat dalam menyumbang khidmat bakti dan terlah memberikan keseluruhan masa dan tenaga saya demi melaksanakan tanggung jawab yang diberikan. Alhamdulillah, saya telah dikurniakanNya tenaga dan kesihatan untuk terus bergerak 24/7, 365 hari setahun non-stop.

Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Apa yang terjadi adalah di atas kehendaknya dan ada hikmah di sebaliknya. Saya redha dan menerima keputusan ini dan mendoakan semoga agar sinar pencerahan. Hanya Allah yang mengetahui dan masa akan menentukan segala-galanya. Kita kerja kerana Allah dan rezeki ada di mana-mana.

Saya berharap kepada rakan-rakan semua supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada MOA dan sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan YB Menteri, Timbalan Menteri serta bakal KSU kelak.

Semoga kita bertemu lagi pada masa akan datang.

Wassalam

KERJA KERJA KERJA !!!!!!

TRUST BELIEVE SUPPORT
Sallehhuddin

 

Difahamkan berikut perubahan kedudukan KSU kementerian:

1. YBhg. Datuk Isham Ishak, KSU MOTAC, PTD Gred Utama A ditempatkan sebagai KSU Kementerian Pengangkutan, berkuat kuasa mulai 25.11.2019. (Jawatan KSU MOTAC kosong dan akan ditanggung kerja).

2. YBhg. Dato’ Jamil Rakon, TKSU (Pengurusan) KDN, PTD Gred Utama A ditempatkan sebagai KSU Kementerian Dalam Negeri, berkuat kuasa mulai 25.11.2019.

3. YBhg. Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan, KSU MOA, PTD Gred Utama A ditempatkan di Jawatan Penempatan Khas, JPA, berkuat kuasa mulai 22.11.2019. (Jawatan KSU akan ditanggung kerja)

4. YBhg. Dato’ Dr. Tan Yew Chong, KSU Kem. Perindustrian Utama, PTD Gred Utama A ditempatkan di Jawatan Penempatan Khas JPA, berkuat kuasa mulai 25.11.2019. (Jawatan KSU akan ditanggung kerja)

 

Sementara itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub meminta media mendapatkan pengesahan ketua setiausaha negara (KSN) berhubung status ketua setiausaha (KSU) kementeriannya yang didakwa mensabotaj beliau berhubung isu tender baja pertanian.

Salahuddin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan pegawainya itu.

“Itu (KSU digantung atau dikenakan tindakan) tanya dengan KSN, saya tak ada pengetahuan tentang itu,” katanya ringkas pada sidang media selepas merasmikan Kongres Benih Asia 2019 di sini, hari ini.

Semalam, seorang pemimpin Amanah mendakwa KSU Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensabotaj Salahuddin berkaitan tender bernilai RM1.4 bilion itu.

“KSU bawa naik tender baja tanpa pengetahuan menteri, lepas tu bila dapat ke syarikat Cina, Nafas merayu kepada menteri MOA dan MOF untuk dapatkan tender baja tu kerana jika tak dapat, ia beri kesan besar kepada perjalanan Nafas sebagai induk pertubuhan peladang yang punya 900,000 ahli.

“Menteri MOA pun tulis surat kepada PM mohon supaya tender diberi pada Nafas. Tapi sampai sekarang Nafas tak dapat pun surat tawaran tender yang dikatakan RM1.4 bilion tu,” tulisnya di Facebook.

Salahuddin sebelum ini mengaku menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mengesyorkan tender tersebut diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang merupakan badan induk yang mewakili peladang di seluruh negara.

Isu ini mendapat perhatian umum apabila presiden MCA yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mendakwa di Dewan Rakyat bahawa berlaku skandal dalam pemberian tender membekalkan baja padi apabila MOA membatalkan kontrak yang diberikan kepada syarikat.

Ini katanya, berikutan dakwaan bahawa seorang menteri menulis surat kepada perdana menteri supaya menyokong pemberian tender bernilai RM1.4 bilion itu kepada Nafas.

Wee seterusnya meminta pengesahan mengenai dakwaan itu, selain mempersoalkan pemberian projek secara rundingan terus kepada pertubuhan peladang itu walaupun selepas ia melalui proses tender terbuka.

Dalam perasmian kongres yang berlangsung pagi tadi, ketua setiausaha kementerian berkenaan tidak kelihatan walaupunpun nama beliau disebut oleh pengacara untuk memberi ucapan. Beliau sebaliknya diganti dengan wakil.

Pada sidang media sama, Salahuddin juga enggan mengulas lanjut berhubung ketidakhadiran pegawai berkenaan.

“Itu tanya pihak JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Saya tak ada apa-apa komen tentang itu,” katanya.

Beliau juga menolak untuk mengulas dakwaan cubaan sabotaj ke atasnya dan menyerahkan isu tersebut kepada pihak yang membuat dakwaan untuk memberi penjelasan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu tender berkait dengan Nafas bukanlah satu skandal seperti didakwa pembangkang.

“Wee Ka Siong boleh sebut di Parlimen, kerja beliau sebagai pembangkang, tapi saya dah jelaskan apa yang berlaku itu masih dalam prosedur yang telah ditetapkan dan ia bukan skandal.

“Duit atau bajet RM1.4 bilion itu di mana? Masih dalam perbendaharaan yang kita yakin akan diberikan kepada pihak Nafas. Itu sahaja, jadi bukan skandal. Skandal ini Tabung Haji, FGV, 1MDB, itu skandal. Duit masuk dalam akaun sendiri,” katanya.

Salahuddin seterusnya berkata, siasatan boleh dijalankan sekiranya benar-benar berlaku skandal berhubung kes tersebut.

“Kalau ada skandal (boleh siasat)…tak ada skandal pun. Kami harmoni sahaja di kementerian. Tak ada salah laku, tak ada apa yang berlaku. Itu kata mereka (kes ini) skandal, kami tak ada skandal,” katanya.

(Visited 1,021 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button