Nasional

Salahkan Felda, mengapa tidak salahkan diri sendiri?

Pendedahan buka pekung di dada peneroka sendiri

ISU peneroka Felda yang menerima pendapatan RM50 sebulan amat mengejutkan semua pihak. Bagaimana pendapatan mereka sebegitu rendah diperoleh sedangkan tanah seluas 10 ekar mampu memberi pulangan yang lebih baik.

Pendedahan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuka mata tentang kelemahan pengurusan Felda. Namun pendedahan itu secara tidak langsung membuka pekung segelintir peneroka itu sendiri yang turut mempunyai masalah tersendiri.

Masalah utama dihadapi oleh segelintir peneroka apabila mereka tidak muafakat dalam menguruskan ladang bersama. Ini boleh dilihat apabila ada peneroka yang menguruskan sendiri ladang mereka tanpa menyerahkan pengurusan kepada Felda atau anak-anak syarikatnya.

Apa yang menyedihkan golongan peneroka yang menguruskan ladang mereka sendiri dengan ‘bangganya’ meletakkan sejumlah pendapatan yang diterima, kepada peneroka yang masih bersama dengan Felda dan anak syarikatnya.

Keadaan itu boleh ‘menggugat’ keimanan peneroka yang bersama Felda. Ya, memang benar ada perbezaan bagi mereka yang menguruskan sendiri ladang dan yang menguruskannya bersama Felda.

Pengurusan ladang

Hari ini dan semalam sebuah akhbar arus perdana menyiarkan kenyataan beberapa peneroka dan NGO supaya peneroka urus sendiri ladang mereka. Ya, tidak salah untuk menguruskan sendiri ladang tetapi adakah orang luar tahu apakah sebenarnya masalah dihadapi oleh peneroka itu sendiri?

Masalah pendapatan kurang daripada RM1,000 adalah berpunca daripada sikap peneroka itu yang sebelum ini menguruskan ladang mereka sendiri. Hanya sekumpulan kecil peneroka yang memperoleh pendapatan itu manakala selebihnya pernah mencecah lebih RM5,000 sebulan.

Yang memperjuangkan isu peneroka ini sepatutnya selidik dengan lebih mendalam mengapa jumlah pendapatan peneroka begitu rendah berbanding peneroka lain.

Dalam isu ini terdapat peneroka yang tidak lagi mampu menguruskan sendiri ladang mereka setelah 10 tahun mengusahakannya untuk diserahkan kepada Felda atau anak syarikatnya.

Namun masalah lain pula timbul apabila ladang yang diserahkan itu didapati semak dan memerlukan kos yang tinggi untuk membersihkannya.

Sebelum menyerahkan semula ladang kepada Felda, ada segelintir peneroka membeli anak benih kelapa sawit yang bukan disyorkan oleh Felda semasa proses tebang semula kerana menganggap anak benih yang dibeli sendiri akan mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

Bagaimanapun selepas tiga atau empat tahun pokok mengeluarkan hasil lain jadinya apabila jumlah pendapatan diterima rendah kerana anak benih dibeli tidak menepati pengeluaran hasil seperti anak benih Felda yang mampu mencapai perahan kelapa sawit yang tinggi.

Menguruskan sebuah ladang kelapa sawit bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh seperti kita bercucuk tanam sayur di belakang rumah.

Kos untuk operasi ladang sawit bukannya murah. Bermula daripada tebang semula, pembelian anak benih kelapa sawit, jalan pertanian, membaja, meracun, menuai yang memerlukan jumlah kewangan yang tinggi.

Bagi peneroka yang beringat pada masa depan, mereka akan mengumpul sedikit demi sedikit supaya proses tanam semula tidak terjejas nanti.

Bagaimana pula yang golongan jenis tidak beringat? adakah mereka mampu menyimpan sedikit duit hasil mereka untuk proses tebang semula pada masa akan datang? jawapannya ada pada mereka sendiri.

Isu lain yang berlaku di tanah rancangan Felda adalah masalah muafakat. Jika muafakat, semua peneroka bersatu maka tidak timbul isu pendapatan berkurang.

Dalam muafakat segala masalah akan dibincangkan bersama ketua peneroka atau ketua blok supaya boleh diajukan kepada pihak pengurusan Felda atau anak syarikatnya untuk tindakan susulan.

Jadi, masalah yang berlaku bukan sahaja pengurusan Felda tetapi di tanah rancangan. Kerana mahu mengejar keuntungan berganda mereka sanggup keluar daripada Felda tanpa memahami dengan jelas kandungan Akta Tanah Berkelompok 1960 (GSA 1960).

Enggan mengulas panjang mengenai GSA 1960 ini kerana peneroka dan anak-anak mereka lebih memahami apakah kesannya jika pengurusan ladang diuruskan sendiri manakala hasil tuaian tidak dijual kepada Felda.

Bak kata-kata seorang peneroka di selatan tanah air “Pakcik bersyukur kerana kerajaan bagi tanah dan lot rumah untuk diusahakan. Kalau tak berhijrah dari kampung tentu kehidupan pakcik tidak berubah.” – SM

(Visited 775 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button