MahkamahNasional

Saksi 1MDB di Singapura setuju beri keterangan

SAKSI di Singapura berhubung siasatan berkaitan 1MDB terhadap Tawfiq Ayman bersetuju memberi kerjasama sepenuhnya dan keterangan mereka dirakam oleh polis Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Din berkata, polis bersedia ke Singapura dari 29 Mac hingga 31 Mac untuk meneruskan siasatan kes membabitkan suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz.

“Kita ada saksi melibatkan mereka daripada pihak bank. Saksi semua bersetuju untuk memberi kerjasama. Cuma mungkin (selepas) kita sampai sana nanti, (mungkin) ada tambahan-tambahan (saksi), bergantung kepada keadaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Kamarudin berkata, polis berharap untuk meneruskan siasatan dan mengumpul dokumen tertentu dalam usaha melengkapkan siasatan dan menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya.

Timbalan Menteri Undang-undang Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa polis sepatutnya meneruskan siasatan di Singapura tetapi tidak dapat berbuat demikian ekoran pintu sempadan ditutup.

Susulan itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura mengemukakan cadangan terbaharu supaya PDRM menghantar pasukannya ke republik itu antara 8 dan 9 Februari lalu.

Namun Bukit Aman hanya memberi maklum balas kepada CAD pada 10 Mac lalu apabila memohon untuk melakukan lawatan itu antara pertengahan hingga hujung Mac.

Polis Singapura dilaporkan telah memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya. – SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button