Politik

Saifuddin Nasution dedah harga barang meningkat

HARGA barangan keperluan didedahkan meningkat ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beberapa barangan dapur seperti minyak, sayur-sayuran, daging dikatakan naik harga sejak beberapa hari ini.

Keadaan ini sudah pasti menekan rakyat terutama golongan B40 dan M40 yang sudah semestinya terjejas akibat penguatkuasaan PKP ditambah pula dengan Proklamasi Darurat.

“Rakyat berpendapatan rendah paling banyak berbelanja untuk makanan.

“Harga barangan keperluan sekarang semakin mahal. Minyak masak, sayur-sayuran, ayam naik harga. Semalam sawi RM9 sekilogram, buncis RM14.90 sekilogram, kacang panjang RM10 sekilogram, ayam RM7.90 sekilogram, minyak masak tanpa subsidi juga naik harga.”

Demikian dedah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini mengaitkan dengan kuasa beli rakyat ketika PKP.

Katanya, saat ini akibat kesan pandemik Koronavirus (Covid-19) pendapatan rakyat terjejas teruk.

Ramai didakwa hilang pekerjaan dan hal tersebut menyebabkan peningkatan pengangguran sekali gus menyebabkan rakyat kategori B40 dan M40 terjejas teruk.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan PKP bermula 13 Januari hingga 26 Januari 2021.

Malah semalam, beliau turut mengumumkan bantuan khas Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi membantu memberi suntikan fiskal bagi kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, bantuan tersebut dikatakan tidak seperti yang diharapkan apabila tiada bantuan secara terus dihulurkan, malah perutusan itu juga disifatkan sebagai siaran ulang tayang.

Dalam pada itu, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu memaklumkan program bakul makanan menerusi Yayasan Foodbank Malaysia masih lagi diteruskan.

“Yayasan Foodbank Malaysia yang saya asaskan memberi tumpuan agihan bakul makanan seperti beras, minyak masak, tepung dan gula. Usaha ini kami lakukan sebelum pandemik Covid-19 lagi dan ditingkatkan semasa Covid-19.

“Alhamdulillah Yayasan Foodbank Malaysia yang sekarang beroperasi di Kajang akan memulakan cawangan baru di utara dalam masa terdekat.

“Terima kasih kepada 59 syarikat-syarikat penyumbang, rakan-rakan strategik, ratusan sukarelawan dan staf yayasan yang terus komited,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button