Saharul Ridzwan dituduh tiada ‘job’ hingga terpaksa jual pisang
APA yang ada dalam pemikiran netizen ini kadang-kadang sukar ditafsirkan dengan kata-kata.
Terbaharu, seorang netizen telah menghantar mesej terhadap pelakon, Saharul Ridzwan dengan memperlekehkan tindakan pelakon itu menjual pisang.
Menerusi satu tangkap layar yang dimuat naik Saharul, netizen itu menuduh pelakon itu tidak ditawarkan berlakon hingga terpaksa menjual pisang.
Malah, netizen itu turut mengeluarkan kenyataan ‘tak malu ke juai dekat gerai macam tu’ sambil diselitkan emoji ketawa.
Tidak mudah melatah dengan mesej yang diterima, Saharul enggan berbalah dan menganggap apa yang dilakukannya itu tiada masalah asalkan halal.
“Apa masih ada ke pemikiran begini? Tak apalah. Asal barang jadi rezeki, rezeki halal. Kita usaha ke arah itu,” katanya.
Menurut Saharul, dia juga berterima kasih kepada semua yang memberinya semangat untuk berniaga.
“Masih ramai yang ada pemikiran yang bagus tentang berniaga. Terima kasih komen semangat anda semua,” ujarnya.
Sebelum itu, Saharul memberitahu yang dia berjaya menjual 200 kilogram pisang dalam masa kurang sejam.
Dia juga menyatakan keterujaannya dan mahu membuat perniagaan menjual pisang itu secara serius. -SM