MARA Teruskan proses kebankrapan terhadap Rozita Che Wan dan anak sulungnya
MARA kini dalam proses memfailkan kebankrapan terhadap pelakon Rozita Che Wan (Che Ta) dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, yang gagal melunaskan pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Menurut laporan Berita Harian, tindakan ini adalah langkah susulan setelah Rozita dan anaknya gagal menyelesaikan hutang tersebut dalam tempoh tujuh tahun. Walaupun MARA telah mengambil pelbagai langkah untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam, termasuk membawa kes ini ke mahkamah, pada Julai 2023, MARA telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Rozita dan Ammar. Namun, disebabkan isu teknikal, notis tersebut terpaksa ditarik balik pada bulan lalu. Tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon tersebut diteruskan, seperti yang tular pada Selasa lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan bahawa tindakan kebankrapan ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman tersebut. Ini kerana MARA tidak lagi memberikan kelonggaran tempoh pembayaran selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.
Menurut Dr. Asyraf, tindakan ini adalah prosedur yang sama yang diambil MARA terhadap mana-mana peminjam yang gagal melunaskan hutang mereka seperti yang terkandung dalam perjanjian yang telah ditandatangani. “Saya telah mengarahkan Bahagian Undang-Undang MARA untuk mengambil tindakan muflis terhadap pelakon ini kerana kami telah memberi tempoh yang cukup untuk beliau melunaskan hutang hampir RM1 juta yang diambil sejak tujuh tahun lalu,” katanya.
Beliau menambah, tindakan ini adalah perintah mahkamah dan tiada siapa yang boleh menghalang MARA dari melaksanakannya. “MARA terikat dengan prosedur yang ketat mengikut lunas undang-undang. Sebelum tindakan perundangan diambil, kami juga memberi ruang kepada peminjam untuk berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan semula hutang mereka,” jelasnya.
Dr. Asyraf juga menyebut bahawa MARA telah membuka pintu rundingan untuk membolehkan penjadualan semula pinjaman jika peminjam menghadapi masalah kewangan. “Bagaimanapun, dalam kes pelakon ini, saya difahamkan bahawa beliau tidak memberi kerjasama yang sepatutnya. Malah, kes ini berlarutan lama disebabkan banyak kali penangguhan oleh mahkamah kerana beliau menukar peguam,” ujarnya lagi.
Selain itu, Dr. Asyraf turut menjelaskan bahawa nilai sebenar barangan yang disita dari rumah pelakon tersebut jauh lebih rendah daripada jumlah hutang sebenar yang perlu dibayar kepada MARA.