Nasional

Rundingan terus RM6.61 bilion: Tidak benar Guan Eng kata Kabinet tahu – Azmin

BEKAS Menteri Ekonomi ketika era pentabiran Kerajaan PH Datuk Seri Azmin Ali menafikan kenyataan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng kononya Kabinet mengetahui mengenai rundingan terus membabitkan 101 projek bernilai RM6.61 bilion.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak memberitahu Dewan Rakyat, tidak benar Guan Eng membentangkan senarai projek rundingan terus dalam mesyuarat Kabinet.

“Kita ada menteri kewangan yang memberikan butiran bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama. Jumlahnya 6 bilion ringgit.

“Dan tidak betul YB Bagan kata Kabinet tahu. Mana ada pembentangan senarai-senarai itu. YB Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet,” tegas Azmin.

Kenyataan tersebut membuatkan Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila ahli Parlimen pembangkang marah dengan apa yang dilontarkan oleh Azmin.

Malah ada ahli Parlimen pembangkang yang cuba menyedarkan Azmin bahawa beliau juga sebahagian daripada anggota pentabiran Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun cuba menenangkan keadaan dengan meminta semua ahli Parlimen memberi ruang kepada Menteri Ekonomi meneruskan pembentangan. Bagaimanapun keadaan tetap kecoh hingga memaksa Azhar meminta Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham keluar Dewan Rakyat.

Azhar turut memberi amaran kepada ahli Parlimen yang lain akan diminta keluar dari Dewan Rakyat sekiranya terus membuat kecoh.

Sebelum itu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Parlimen bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Pendedahan Tengku Zafrul menyebabkan Dewan Rakyat kecoh sebentar sehingga membuatkan Guan Eng bangun untuk memberi penjelasan. Menurutnya, Kabinet mengetahui projek-projek yang diluluskan melalui rundingan terus tersebut.

“Saya terbuka sekiranya YB nak berikan senarai itu tender-tender yang diberikan, itu bukan diberikan secara terbuka.

“Kalau kita lihat jumlah yang diberikan, secara tender terbuka jauh lebih besar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang berhormat sebutkan tadi. Seperti yang disebutkan tadi, Ini juga diberikan di bawah kelulusan Kabinet dan juga peraturan yang sedia ada,” kata Guan Eng.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button