NegeriRencah Hidup

Rumah tradisional Perlis lebih 100 tahun di Kampung Salang masih tersergam indah

PERKARA yang kita akan perhatikan semasa perjalanan menyusuri jalan masuk ke sesebuah negeri adalah rumah.

Rumah yang cantik dan unik biasanya akan menarik perhatian sesiapa saja.

Sekalipun rumah bentuk moden begitu dikagumi tetapi apabila ada lagi rumah tradisional yang dilihat masih tersergam indah memang sangat luar biasa.

Ini kerana jarang yang masih mahu mengekalkan rumah tradisional memandangkan penyelengaraannya yang agak rumit itu pastinya memerlukan kos yang tinggi.

Bagi yang pernah melalui jalan Kampung Salang di Jalan Kaki Bukit, Perlis khususnya peminat rumah tradisional pasti akan terpandangnya.

Rumah tradisional Perlis bumbung lima ini dikatakan telah berusia lebih 100 tahun.

Pemiliknya, Had Bakar, 77, berkata, beliau telah membeli rumah ini yang terletak di Titi Tinggi, Padang Besar pada tahun 1994.

“Saya beli dengan harga RM940 untuk dihadiahkan kepada arwah emak, Munah Yahaya” kata Had seorang pesara kerajaan.

Disebabkan rumah tersebut hanya mempunyai sebuah ruang tetamu sahaja maka Had membeli sebuah lagi rumah lama di Kampung Santan untuk menambah bahagian dapur pula.

“Saya cuma membina sebuah bilik air baharu iaitu menggunakan batu bata,” katanya.

Had memberitahu, beliau juga mengubahsuai kedudukan bahagian beranda rumah daripada yang asal.

Selain itu kata Had, kelarai hasil anyaman buluh juga masih dikekalkan sebagai sebahagian dinding dan pembahagi di bilik rumah.

Beliau berkata, pembinaan rumah ini mengguna kayu tomok yang dikatakan tahan dari serangan anai-anai.

Katanya, keunikan rumah tradisionalnya telah menarik perhatian pelajar Pengurusan Pelancongan, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya tiada halangan bagi membolehkan pelajar ini membuat kajian sekaligus memberi peluang warisan rumah tradisional Perlis diketengahkan termasuk untuk pelancongan.

Had dan isterinya Minah Dahuli, 73, juga bersedia menerima tetamu yang berminat untuk melihat rumah tradisional Perlis ini. – SM

(Visited 785 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button