BeritaEkonomiNasional

RTS diteruskan dengan penjimatan kos RM1.77 bilion

SUARA MERDEKA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad petang tadi memulakan lawatan kerja ke Negeri Johor dengan mengadakan lawatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Dalam lawatan yang sama, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia bersetuju meneruskan Projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru – Singapura dengan pengurangan kos dari RM 4.93 bilion kepada RM 3.16 Bilion.

“Kerajaan komited untuk menangani isu kesesakan antara Johor Bahru dan Singapura secara komprehensif dengan bekerja rapat dengan Singapura. RTS Link akan menjadi pilihan pengangkutan untuk puluhan ribu orang yang mahukan perkhidmatan yang pantas, boleh dipercayai dan berpatutan untuk perjalanan harian mereka,” katanya di dalam Facebook miliknya.

Sementara itu Bernama melaporkan Malaysia bersetuju meneruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kos terbaharu itu adalah penjimatan sebanyak 36 peratus atau RM1.77 bilion berbanding kos asal iaitu RM4.93 bilion.

“Kita akan teruskan dengan projek itu dan selesaikan sedikit isu kesesakan lalu lintas.

“Butiran projek akan dibincangkan bersama kerajaan Singapura,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas lawatan itu.

Pada 18 Oktober, Kementerian Pengangkutan Malaysia mendapat kelulusan Kabinet untuk meneruskan projek Laluan RTS dengan perubahan kepada struktur, skop dan spesifikasi projek.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.


(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button