Berita

Ronnie Liu perlu tarik balik kenyataan berkenaan PKM

PAS dan UMNO Negeri Selangor mendesak ADUN DAP Sungai Pelek, Ronnie Liu supaya menarik balik kenyataan beliau yang menyatakan simpati serta mengagung-agungkan para pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) dan perjuangan parti berkenaan yang dianggap musuh negara.

Kenyataan bersama  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dikeluarkan berikutan titah Sultan Selangor supaya perbuatan sedemikian dihentikan.

“Merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan itu dan menyeru seluruh penyokong dan ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara itu.

“Sehubungan dengan itu kedua-dua parti turut mahu menegur dan mengingatkan Adun DAP Sungai Pelek, YB Ronnie Liu Tian Khiew agar menarik balik kenyataannya sebelum ini yang pernah menyatakan simpati serta mengagung-agunkan perjuangan PKM dan segera memohon maaf pada Tuanku Sultan atas kebiadapannya itu,” kata kenyataan itu.

Pada 1 Disember 2019 lalu  Ronnie Liu telah hadir sebagai tetamu khas dalam satu majlis memperingati Ulang Tahun ke 30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan di Kajang.

Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan YB Ronnie Liu dalam ucapannya telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa datuk dan abangnya pernah bersama perjuangan PKM.

PAS dan UMNO Selangor turut menuntut agar dengan semangat titah Tuanku Sultan ini jangan lagi ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Negeri Selangor.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button