Rogol wanita hamil: Penganggur dipenjara 15 tahun, tiga sebatan
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 8 April – Gara-gara merogol isteri rakannya yang hamil, seorang penganggur dipenjara 15 tahun dan
tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini.
Selain merogol, tertuduh, Zul Hafiq Hafizi Zakaria, 25, turut dituduh menggugut mangsa dengan sebilah
pisau terhadap wanita berusia 25 tahun itu yang mengandung tujuh bulan.
Tertuduh, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Januari lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Zul Hafiq didakwa merogol mangsa berusia 25 tahun tanpa kerelaannya pada 21
Januari lalu, jam 4.20 pagi di sebuah rumah di Taman Merlimau, Jasin, dekat sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan
hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.
Ketika kejadian wanita tersebut tinggal berseorangan di rumah ekoran suaminya ketika itu menjalani hukuman
penjara.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dalam hujahan memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh
mengambil kira trauma teruk dialami mangsa yang sarat mengandung anak pertama ketika dirogol dan diugut
dengan pisau.
Terdahulu, Nariman turut bertanya adakah tertuduh menyesal selepas mendengar keterangan impak mangsa serta menegaskan perbuatannya itu amat terkutuk.