Ekonomi

Ringgit dibuka rendah berbanding dolas AS

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini (Khamis 11 Nov) berikutan minat belian yang lebih baik untuk mata wang Uncle Sam itu.

Pada pukul 9.06 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.1600/1630 berbanding dolar AS daripada 4.1525/1545 pada penutup Rabu.

Pedagang berkata data inflasi AS (seperti yang diukur oleh Indeks Harga Pengguna) datang lebih tinggi daripada jangkaan pada 4.6% berbanding ramalan 4.3%, sekali gus menjadi pemangkin utama pergerakan menaik dalam pasangan dolar-ringgit AS.

Inflasi tahunan sebanyak 4.6% di AS adalah yang tertinggi dalam tempoh 30 tahun berikutan jumlah wang yang besar dicurahkan ke pasaran kewangan sebagai rangsangan untuk memerangi pandemik Covid-19.

Selain itu, dasar dovish yang diguna pakai oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) sejak awal wabak itu memburukkan lagi keadaan.


Dengan bacaan inflasi ini, pasaran memahami bahawa Fed berkemungkinan perlu menaikkan kadar faedah lebih awal daripada jangkaan pada 2023.

Dari sudut teknikal, penganalisis berkata, jika ringgit-dolar AS menembusi melebihi 4.1600, ia boleh meningkat kepada 4.1900 dalam beberapa hari, tambah Diniz.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6469/6495 daripada 3.6683/6704 pada hari Rabu, dan menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.0726/0750 daripada 3.0816/0833 sebelumnya.

Nota tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5744/5784 daripada 5.6208/6235 pada penutup Rabu, dan meningkat berbanding euro kepada 4.7732/7766 daripada 4.8078/8101.

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button