Ekonomi

Bursa melonjak pagi ini

BURSA Malaysia dibuka rendah sedikit pada pagi ini (Khamis 11 Nov), tetapi pulih selepas itu apabila aktiviti belian baharu saham wajaran tinggi terpilih mengimbangi kerugian awal.

Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FBM KLCI telah menokok 1.20 mata kepada 1,521.94 daripada penutup Rabu pada 1,520.74 selepas dibuka 0.26 mata lebih rendah pada 1,520.48.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 218 berbanding 129, manakala 267 kaunter tidak berubah, 1,678 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 232.21 juta unit bernilai RM110.29 juta.

Penyelidik dalam nota mereka berkata, KLCI mungkin terus menunjukkan prestasi yang lebih lemah berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tekanan inflasi, berikutan pengumuman Indeks Harga Pengeluar China yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Selain itu, dengan prestasi negatif Wall Street, terutamanya dalam sektor teknologi, minat jualan mungkin melimpah ke arah pasaran tempatan.

Peserta pasaran akan menggunakan strategi tunggu dan lihat menjelang data pengeluaran domestik kasar suku ketiga Malaysia yang akan dikeluarkan pada hari Jumaat.

Walaupun sentimen mungkin bertukar lemah di pasaran yang lebih luas, kami melihat prospek yang lebih cerah dalam jangka pertengahan hingga panjang bagi sektor penerbangan dan pelancongan memandangkan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur untuk pelancong antarabangsa.

Sementara itu, penyelidik menjangkakan saham berkaitan perabot akan mendapat perhatian dalam musim laporan akan datang di tengah-tengah permintaan yang lebih tinggi untuk perabot semasa tempoh kerja dari rumah.

Antara saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) naik tiga sen setiap satu masing-masing kepada RM8.02 dan RM9.61, dan IHH Healthcare Bhd menokok 10 sen kepada RM6.55, manakala Public Bank Bhd susut 1.0 sen kepada RM4.01 dan Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) tidak berubah pada RM8.30.

Daripada saham aktif, XOX Bhd dan Tanco Holdings Bhd masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan 27 sen, manakala Iconic Worldwide Bhd meningkat 1.5 sen kepada 47.5 sen dan Ecomate Holdings Bhd memperoleh setengah sen kepada 52.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 0.83 mata kepada 11,265.75, Indeks FBMT 100 meningkat 0.59 mata kepada 10,901.13, Indeks FBM Emas Shariah susut 2.51 mata kepada 12,276.08, FBM ACE8 naik 26,56.08 FBM 70 susut 30.04 mata kepada 14,913.10.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 201.47, Indeks Perladangan meningkat 1.37 mata kepada 6,631.26 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.57 mata kepada 15,094.82.

(Visited 76 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button