Seorang remaja yang dilaporkan hilang di dalam hutan di Laman Tiga Budaya, Asahan, Jasin, Melaka bagaimanapun ditemui lemas di kawasan air pada jam 1.29 pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Seleman Tugi berkata, mangsa, Muhammad Radif Azahari, 19 tahun dilaporkan hilang sejak pukul 7.00 petang
semalam dalam hutan selepas pergi bersama seorang rakannya.
Menurutnya, rakan mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Tangkak Johor dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.24 malam tadi bagi memohon bantuan mencari mangsa.
Beliau berkata, susulan daripada laporan tersebut seramai 14 anggota bomba telah melakukan operasi mencari mangsa yang hilang.
Katanya, lapan anggota dari BBP Jasin, dua daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah dan empat anggota Storm juga dari Melaka Tengah.
“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan dalam jarak 500 meter dari kawasan mangsa dipercayai hilang.
“Selepas hampir tiga jam operasi dijalankan, pasukan bomba akhirnya menemui mangsa lemas di kawasan air terjun dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Seleman, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat dan operasi tamat pada jam 2.36 pagi. – SM