Politik

Tajuddin Pasir Salak berputih mata PAU 2022

BEKAS Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhadapan dengan hukuman ‘mati’ yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ini sekaligus bermakna, Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 11 sehingga 14 Januari tidak akan nampak kelibat Tajuddin.

Terdahulu Tajuddin ada membuat permohonan rayuan tetapi permohonan beliau ditolak bersandarkan kepada keputusan Lembaga Disiplin parti.

Keahlian Tajuddin digantung selama enam tahun pada Oktober tahun lalu namun beliau memperlekehkan keputusan itu dengan mendakwa ia bukan “hukuman mati”.

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau dilihat secara terbuka mengkritik UMNO berikutan penyingkirannya sebagai Ahli MKT pada Jun 2022.

Beliau juga menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar meletakkan jawatan selepas penyingkirannya.

UMNO Bahagian Arau juga telah digantung atas faktor disiplin dan sebagai ganti, satu ketua pentadbir akan dilantik bagi bahagian berkenaan.

Sementara itu, semalam, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil memaklumkan Ahli Jawatankuasa UMNO Arau hanya boleh hadir ke Perhimpunan Agung UMNO sebagai pemerhati.

Pada November lalu, UMNO menggantung sementara dua Ketua Wanita Bahagian, masing-masing dari Arau dan Maran kerana didakwa menyokong calon yang menentang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November tahun lepas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan sebagai berkata, penggantungan Ketua Wanita UMNO Arau, Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Maran, Fatimah Kassim dibuat mengikut Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.

UMNO turut memecat tiga bekas Ahli Parlimen mereka termasuk Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin dan bekas Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib kerana bertanding menentang parti itu pada PRU15. – SM

(Visited 522 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button