Nasionalpilihan

Dua pasang suami isteri dalang sindiket dadah antarabangsa RM3.8 juta

Dua pasang suami isteri adalah antara lapan individu berjaya diberkas kerana terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM3.8 juta di sebuah rumah di Serkam, Merlimau, Jasin di sini kelmarin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua suspek yang berusia 28 sehingga 48 tahun ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Melaka dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dan satu di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit menjumpai empat guni mengandungi dadah jenis syabu seberat 82.64 kilogram (kg) bernilai RM2,975,040 dan satu guni serta dua bungkusan (parcel) mengandungi pil ekstasi seberat 16.62 kg bernilai RM831,000.

Selain itu katanya, dalam serbuan tersebut pihak polis turut merampas tiga buah motosikal, empat motokar, barang kemas, wang kertas tunai RM2,114 dan mata wang asing bernilai RM283,770.60.

“Bertindak daripada maklumat yang diperolehi tangkapan pertama melibatkan lima individu termasuk dua pasangan suami isteri ditahan di Serkam pada pukul 3 petang.

“Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri telah ditahan di dalam dua buah kereta di hadapan sebuah rumah dan dua lagi suspek diberkas dalam serbuan di dalam kediaman berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini, hari ini.

Tambahnya, individu yang ditahan di dalam rumah itu juga merupakan pasangan suami isteri berusia 43 tahun dan 28 tahun dengan suspek lelaki bekerja sebagai nelayan.

Ujarnya, dalam serbuan itu pihak polis turut merampas tiga buah motosikal, empat motokar, barang kemas, wang kertas tunai RM2,114 dan wang kertas mata wang asing bernilai RM283,770.60.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam serbuan kedua dan ketiga polis berjaya menahan suspek berusia 39 dan 47 tahun di Permatang Serai dan Kampung Pulai, Merlimau.

“Serbuan terakhir dibuat di Kota Damansara melibatkan suspek lelaki berusia 48 tahun yang ditahan pada pukul 8.30 malam, hari sama.

“Kita percaya kesemua mereka terlibat dalam sindiket pengedaran dadah keluar negara dan telah aktif sejak awal tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif namun dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan curi.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SM

(Visited 288 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button