Nasionalpilihan

Remaja 17 tahun ke bawah, calon SPM tidak diberi vaksin Covid-19

KERAJAAN tidak akan memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian di Amerika Syarikat.

“Namun begitu, bagi pelajar tahun peperiksaan yang telah mencapai usia 18 tahun contohnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini, vaksinasi COVID-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan.

“Vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah juga sedang dipergiatkan sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak.

“Pelaksanaan ini dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah,” katanya.


Menurut kenyataan itu, pada masa ini, KKM juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

Jelasnya, CITF akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak.

Dalam pada itu, CITF juga memaklumkan bahawa pendaftaran bagi kumpulan ini sememangnya
sudah diterima oleh sistem MySejahtera, namun tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur berkenaan buat masa sekarang.

“Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini.

“Ketika ini, keutamaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik COVID-19,” katanya. -SM

(Visited 175 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button