Rashidah Ramli Bawa Aura BN, Bakal Memacu Parit Raja Dengan Kehebatan Wanita!
Kalau perjalanan dari Ayer Hitam ke Batu Pahat, Parit Raja antara pekan yang sering mendapat perhatian kerana elemen budaya dan ekonomi yang wujud di sekitarnya.
Dalam erti kata lain, kalau penduduk tempatan ‘malas’ cari makan di Ayer Hitam atau bergerak sampai ke Batu Pahat, ramai yang akan singgah di Parit Raja.
Hal ini demikian kerana Parit Raja bukan sahaja ada banyak kedai makan malah perkembangan ekonominya juga cukup baik untuk memenuhi kehendak orang ramai.
Kalau nak berbelanja misalnya, ada pasaraya Wellward dan kalau bulan Ramadan pula misalnya, ekspo jualan Parit Raja antara yang terkenal selepas ekspo Kluang.
Lagi-lagi menjelang malam raya Aidilfitri, pekan Parit Raja memang akan dipenuhi orang ramai dan kalau sebelum Covid-19 melanda, suasananya cukup meriah.
Baik orang di Kluang, Senggarang, Batu Pahat, Yong Peng dan sebagainya, pasti akan menuju ke Parit Raja untuk sesi luangkan masa bersama ahli keluarga.
Belum lagi kira dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail (STI), ia antara sekolah yang sering disebut-sebut selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Menteri (SMKDM) yang berada di Ayer Hitam.
Malam ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan Rashidah Ramli dari Barisan Nasional menang kerusi DUN N22 Parit Raja dan kemenangan beliau ibarat satu sinar baharu buat Parit Raja.
Parit Raja akan terus menerima aura kepimpinan wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan yang paling menarik kali ini, Parit Raja diterajui seorang wanita yang pastinya memiliki visi dan misi tersendiri.
Warga Parit Raja pastinya teruja untuk melihat bagaimana cara Rashidah bekerja kerana Parit Raja adalah sebuah kawasan yang benar-benar ‘king’ dan kini Rashidah diangkat sebagai ‘queen’.