Politik

Ramai salah faham saranan Mageran Dr. Mahathir

Pada realitinya, pemimpin-pemimpin PH dan UMNO tidak harus cepat melatah dan mencemuh cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penubuhan Majlis Pemulihan Negara yang bukan berteraskan politik untuk menukar kerajaan yang tiada kesudahannya bagi menurunkan ‘suhu politik’ negara.

Ramai yang telah salah sangka dengan menyatakan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan penubuhan Majlis Pemulihan Negara demi agenda kepentingan politik peribadi beliau. Tuduhan ini amat meleset sama sekali!!

Setakat ini hanya Dr Mahathir sahaja yang mencadangkan satu solusi kearah mencari jalan penyelesaian secara konkrit bagi selamatkan kemelut kesihatan, ekonomi, politik dan sosial yang sedang melanda negara secara amat teruk.

Dr mahathir Mohamad bukanlah seorang tokoh pemimpin yang beretorikal serta gila kuasa. Dalam cadangan ini beliau tidak langsung bercakap untuk merampas kuasa atau menggantikan kerajaan sedia ada. Dalam ertikata lain, Majlis Pemulihan Negara tidak akan ganti kerajaan sedia-ada.

Menggunakan kaedah politik untuk berebut kuasa bukan solusi yang terbaik. Yang penting buat masa ini adalah mengujudkan ‘cooling off period’ bagi menurunkan ‘suhu politik’ lanskap politik negara.


Di manakah cacat celanya penubuhan Majlis Pemulihan Negara yakni Parlimen akan bersidang dan segala tindakan Majlis ini juga akan dibentangkan kepada Parlimen.

Majlis Pemulihan Negara juga bukan untuk dilaksanakan secara jangkapanjang atau bersifat berkekalan. Tempoh masa untuk Majlis ini hanyalah sehingga negara mencapai imuniti kelompok serta sebelum PRU15.

Memandangkan cadangan beliau ini semata-mata untuk kepentingan bangsa dan negara; sudah sampai masanya semua pihak tidak kira dari kerajaan mahupun pembangkang harus duduk semeja atas semangat cintakan negara seterusnya bermusyuawarah demi mencari satu titik persamaan kearah membina semula ‘Malaysia Baharu.’

Pemimpin-pemimpin PH sendiri amat mengenali sifat dan cara tun dr mahathir mohamad mentadbir negara. Beliau adalah seorang tokoh negarawan yang senantiasa bersikap terbuka serta berjiwa besar untuk mendengar pandangan dari semua pihak.

Demi kesejahteraan masa depan bangsa serta negara; semua pihak kemungkinannya boleh memberi pendapat kearah penambah-baikan Majlis Pemulihan Negara agar ianya dapat dicadangkan kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang bakal mengadakan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021.

Konsep pelaksanaan Majlis Pemulihan Negara juga berteraskan berkhidmat secara sukarela tanpa gaji kecuali elaun yang tidak akan membebankan negara.

Pada realitinya juga, cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara harus disokong oleh semua pihak agar KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akan melimpah perkenan demi kepentingan bangsa mahupun negara.

Insya-Allah, saya berani menyatakan bahawa cadangan Dr Mahathir merupakan satu formula yang terbaik bagi ‘Selamatkan Malaysia.’

Keseluruhan rakyat malaysia harus bersatu hati dan berganding bahu secara tidak partisan bagi selamatkan tanahair yang tercinta ini dari mengalami kerosakan yang mungkin tidak boleh diperbaiki ataupun terpaksa mengambil satu jangkamasa yang terlalu panjang bagi menyelesaikannya.

Kemungkinannya juga, Majlis Pemulihan Negara akan menyediakan landasan kearah mengujudkan ‘Kerajaan Perpaduan’ yang bakal dianggotai oleh semua pihak akhirnya bagi sama-sama memikul tanggungjawab membina semula Malaysia baharu.

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan

(Visited 124 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button