Rakyat Malaysia tolak normalisasi hubungan dengan Israel
KEINGINAN Duta Israel di Singapura Sagi Karni untuk menjalin hubungan baik dengan Malaysia ditolak dengan keras oleh rakyat negara ini.
Menggunakan tanda pagar #tolaknormalisasi rata-rata warganet di Twitter membantah Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram tersebut.
Mereka malah menyifatkan Israel sebagai sebuah negara pengganas yang tidak boleh dipercayai dan perlu dijauhi oleh Malaysia, Indonesia dan Brunei serta negara Islam yang lain.
“Kami tidak mempercayai Israel dan rakannya. Kami sudah belajar dari sejarah siapa yang boleh menjadi kawan dan siapa yang tidak. Kita adalah saudara dan kita berdiri di sebelah saudara kita Pergi berkawan dengan orang lain, bukan kita. Saya tidak #supportisrael,” ciap @MissAnis_507.
“#TolakNormalisasi. Kamu tidak akan selama-lamanya dibenarkan masuk ke Malaysia,” kata @Nadhakim2.
“Jika mereka hulurkan tangan, kita balas dengan penampar di muka. Tiada tempat bagimu.. zionis!” balas @chodingz94.
“Hanya mereka yang sokong zionisme akan mengadakan hubungan dengan Israel. Kita tidak mengiktiraf negara zionis. Kami hanya iktiraf Palestin. #tolaknormalisasi,” tegas @ahmdfik.
“Terus sebarkan kesedaran mengenai #IsraeliTerroism. Banyak bukti nyata kenapa kita perlu #tolaknormalisasi,” ciap @JungHoseok_77.
“Tolaknormalisasi jom kita kongsi penolakan tegas terhadap regim pengganas,” kata @numanmazlan.
“Kita tidak bersahabat dengan pengganas dan penjajah seperti zionis. #tolaknormalisasi,” tambah @ZaraKayangan.
Beberapa hari lalu akhbar Israel The Jerusalem Post melaporkan Duta Israel di Singapura menyatakan Israel bersedia menjalin hubungan baik dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara.
Tiga negara dengan majoriti penduduk beragama Islam di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei pernah mengecam serangan 11 hari Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 250 warga Palestin.
Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni berkata, kritikan daripada pemimpin tiga negara itu adalah ‘tidak jujur’ dan ‘tidak berasaskan keadaan sebenar konflik’ yang disifatkan Karni sebagai konfrontasi antara Israel dengan Hamas dan bukannya Israel terhadap semua warga Palestin.
“Hamas adalah sebuah organisasi anti-Yahudi dan saya tidak tahu berapa ramai individu di media sosial yang benar-benar faham betapa radikal dan fasisnya Hamas,” katanya.
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mempunyai pengaruh besar ke atas apa yang berlaku di Asia Barat adalah dengan mewujudkan hubungan dengan Israel.
“Kami bersedia untuk berbincang dan bertemu. Saya tidak fikir pemimpin negara-negara itu sukar untuk menghubungi kami,” katanya.
Israel mempunyai kedutaan di negara-negara lain di Asia seperti Vietnam, Thailand, Myanmar dan Filipina.-SM