Nasional

Raja Perlis seru rakyat beri sokongan kepada anakanda Raja Muda sebagai pemangku

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar semua rakyat negeri Perlis memberikan sokongan yang penuh kepada anakanda Baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang akan menggalas amanah sebagai Pemangku Raja Perlis bagi pihak Baginda bermula pada 15 Mei 2024 baru-baru ini.

Tempoh Pemangkuan Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah untuk selama empat bulan ketika Tuanku Raja akan menjalani pembedahan kaki pada minggu hadapan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan seterusnya melalui proses rehabilitasi selepas itu.

Tuanku Raja turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, kaum kerabat DiRaja, para sahabat handai dan khususnya rakyat negeri Perlis yang dikasihi atas doa dan ucapan sempena sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Baginda yang ke-81 pada semalam iaitu 17 Mei 2024 bagi tahun ini.

Demikian titah Tuanku Raja Perlis ketika berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis, Jalan Raja Muda, Kangar pada malam semalam.

Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat sama adalah Pemangku Raja, iaitu Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button